Bapa ditahan disyaki bunuh anak tunggal

Bapa ditahan disyaki bunuh anak tunggal

maut
JENAYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bapa disyaki membunuh anak lelakinya yang berusia enam tahun di mana mayatnya kemudian ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan sebelum tampil membuat laporan polis palsu, Khamis lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada pukul 12.20 tengah hari, kira-kira 10 jam selepas membuat laporan bahawa anak tunggalnya hilang.

Ketua Polis Iskandar Puteri, M. Kumarasan berkata, suspek mendakwa anaknya hilang kira-kira pukul 6 petang, Rabu lalu semasa ditinggalkan sendirian di dalam kereta yang di tempat meletak kenderaan untuk membeli makanan.

“Hasil siasatan lanjut ke atas suspek semasa tahanan reman telah membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki di kawasan Rompin, Negeri Sembilan. Sama ada mangsa telah dibunuh dan ditanam di kawasan tersebut sebelum atau selepas membuat laporan polis palsu, ia masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Polis Negeri Sembilan dilaporkan menemukan mayat kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, di sini pada 24 Julai lalu, ditanam di kawasan Rompin, Jempol.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, mayat kanak-kanak itu ditemukan susulan penahanan suspek lelaki berusia 36 tahun yang juga bapa kanak-kanak malang itu oleh polis Johor.

Mangsa dikenali sebagai M. Tishant dilaporkan hilang sejak Rabu lalu dengan lokasi terakhir mangsa di Kopitiam Tiong Nam, Bukit Indah.

Menurut Kumarasan, lelaki tersebut kini dalam tahanan reman selama tujuh hari sejak Jumaat lalu bagi menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×