KUALA LUMPUR: Warga asing tidak diiktiraf sebagai penjaja atau peniaga kecil di negara ini dan dilarang sama sekali bekerja sebagai pembantu di bawah lesen penjaja atau premis yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, larangan itu selaras dengan peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja serta Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian yang dikuatkuasakan PBT.
“Warga asing tidak dibenarkan sama sekali untuk memohon lesen penjaja atau lesen perniagaan kecil malahan mereka juga tidak boleh bekerja sebagai pembantu di bawah lesen yang dimiliki rakyat tempatan.
“Lesen perniagaan ini merupakan keistimewaan untuk rakyat Malaysia sahaja,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd. Hasnizan Harun (PN–Hulu Selangor) yang ingin mengetahui dasar terkini kerajaan mengenai penglibatan warga asing dalam sektor peruncitan dan penyalahgunaan lesen atas nama pasangan rakyat tempatan.
Menurut Kor Ming, sebarang pelanggaran seperti penyalahgunaan lesen atau kegiatan proksi oleh warga asing dikenakan tindakan tegas termasuk pembatalan lesen, kompaun, rampasan barangan dan penutupan premis.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 3,703 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan dengan 14,834 kompaun dikeluarkan.
“Sehingga tahun 2023, kerajaan telah membatalkan 23 lesen perniagaan dan merampas 2,880 premis atas pelbagai kesalahan termasuk penyewaan secara haram dan penggunaan proksi tempatan.
“Antara tindakan diambil termasuk pemantauan berterusan di kawasan perniagaan yang mempunyai kehadiran warga asing yang tinggi, rampasan barang daripada penjaja asing tanpa lesen serta pembatalan lesen sekiranya didapati warga asing menjadi pengendali sebenar,” ujarnya.
Kor Ming berkata, kerajaan turut memperketat syarat permohonan baharu dan pembaharuan lesen di semua negeri serta mempertingkat operasi penguatkuasaan bersama melibatkan Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, koordinasi antara agensi amat penting kerana kuasa PBT hanya meliputi aspek pelesenan dan pemeriksaan premis.
“Kementerian dan PBT sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk Imigresen dan polis bagi memastikan penguatkuasaan menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau, penyalahgunaan fasiliti perniagaan yang ditawarkan kerajaan pada kadar sewa rendah kepada rakyat tempatan, tetapi disalahgunakan oleh warga asing, adalah isu serius dan perlu ditangani secara tegas. – UTUSAN











