APABILA kerajaan menghentikan program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan digantikan dengan Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Baharu Komuniti (CREAM), ada yang mengatakan bahawa ia adalah langkah ke belakang.
Mereka berpendapat, ia boleh membunuh minat orang awam terhadap tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif. Ini kerana CREAM lebih fokus kepada kumpulan dan bukannya individu.
Hingga ada yang mengatakan tindakan kerajaan memansuhkan NEM itu bertujuan melindungi kelompok tertentu yang bimbang keuntungan mereka terjejas apabila semakin ramai rakyat berubah kepada solar untuk menjimatkan bil elektrik.
Tetapi pemasangan panel solar di bawah CREAM yang merupakan program pengagregatan tenaga boleh baharu berasaskan komuniti sebenar lebih baik. Bukan sahaja dalam menggalakkan penggunaan tenaga bersih tetapi juga boleh membantu meningkatkan ekonomi masyarakat.
Cuma ia bukan program untuk individu. CREAM adalah program berkelompok yang mana faedahnya dinikmati oleh banyak pihak dan boleh menjadi serampang dua mata dalam mempromosi penggunaan tenaga bersih dan pada masa membantu ekonomi rakyat.
Tetapi tahap kejayaan dan keberkesanannya bergantung kepada cara ia dilaksanakan dan bagaimana ia disokong.
Skala ekonomi
Jika dilihat pada skala ekonomi, CREAM berupaya mengagregat permintaan tenaga dan pelaburan merentas berbilang isi rumah atau perniagaan. Maknanya, jika dilihat kepada syarat yang dinyatakan, ia memerlukan penyertaan ramai. Kalau dalam satu kawasan perumahan atau kampung minimum 10 hingga 20 buah rumah.
Dengan cara ini kos pemasangan setiap unit panel solar akan menjadi lebih rendah, di samping penjanaan tenaga yang lebih efektif kerana kawasan yang dipasang dengan solar lebih luas berbanding individu. Dan jumlah tenaga yang dijana jauh lebih besar.
Kos pemasangan akan jadi lebih berpatutan disebabkan oleh pembelian pukal dan infrastruktur yang dikongsi.
Akses TBB kepada semua
Jika di bawah NEM dahulu, akses kepada TBB melalui panel solar ini hanya untuk mereka yang berkemampuan sahaja. Iaitu golongan T20 dan segelintir M40. Tetapi melalui CREAM, ia membolehkan penyertaan daripada isi rumah berpendapatan rendah yang sebelum ini tidak mampu memiliki sistem secara individu.
Lagi pula, mereka tidak perlu bimbang tentang kos pemasangan kerana ia ditanggung oleh pihak yang menyediakan bekalan (LEGA) dan pihak pengguna (yang perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum pemasangan).
Kaedah ini akan menggalakkan penglibatan lebih menyeluruh setiap lapisan rakyat dalam penghasilan dan penggunaan tenaga boleh baharu. Sama ada mereka di kampung, projek perumahan rakyat, mahupun projek mewah. Semua boleh mengambil bahagian dalam menjana tenaga solar di bawah program CREAM.
Pemerkasaan komuniti
Program CREAM ini secara tidak langsung boleh membantu memperkasakan komuniti. Penduduk di kawasan perumahan boleh berpakat bagi mendapatkan pendapatan tambahan dengan menyewakan bumbung rumah mereka. Secara individu mereka tidak boleh berbuat demikian. Tetapi secara berkelompok mereka mempunyai kelebihan.
Dengan ini ia menggalakkan pemilikan secara komuniti termasuk dalam membuat keputusan dan perkongsian keuntungan.
Contohnya, jika penduduk di kawasan perumahan awam milik kerajaan negeri memilih untuk memasang panel solar di rumah mereka. Pihak penjana tenaga tempatan atau LocaL Energy Generator and Anggretor (LEGA) yang akan memasang sistem solar tersebut.
Malah mereka akan membantu menukar bumbung rumah terbabit supaya ia mampu menampung panel solar. Penduduk bukan sahaja dapat solar, tetapi juga dapat bumbung rumah baharu. Malah pihak LEGA akan membayar sewa bumbung kepada mereka.
Maka duit sewa bumbung rumah untuk pasang solar boleh digunakan untuk membayar sewa kepada pihak kerajaan. Dengan pemasangan panel solar ini ia membantu mengurangkan beban mereka.
Bantu komuniti celik tenaga
Dahulu di bawah program NEM, hanya kelompok tertentu sahaja yang celik mengenai tenaga hijau dan tenaga boleh baharu termasuk solar. Ini disebabkan kos pemasangan tinggi dan tidak berbaloi untuk mereka yang penggunaan elektrik di bawah RM300 sebulan memasangnya.
Tetapi melalui CREAM mereka tidak perlu tanggung apa-apa kos. Sebaliknya boleh mendapat pulangan kewangan. Mungkin tidak banyak, tetapi cukup untuk menampung kos utiliti atau kos terutama mereka yang menyewa rumah daripada kerajaan. Apabila mereka terlibat dengan skim ini maka secara langsung menjadi celik kepada sumber tenaga baharu ini.
Kerjasama dan kesedaran
Dalam setiap apa yang dilaksanakan sudah tentu ada cabaran yang perlu diharungi. Dalam merealisasikan program CREAM, ia memerlukan kerjasama dan kesedaran semua pihak.
Yang paling penting dalam menjayakan program ini adalah kesedaran sektor kerajaan dan korporat untuk menggunakan tenaga boleh baharu atau tenaga hijau.
Ini kerana jumlah tenaga yang perlu dihasilkan bawah program ini adalah antara 100 kWp dan 2 MWp. Maknanya jumlah ini bukan untuk pengguna biasa. Ia adalah untuk pemilik bangunan kerajaan, premis kilang, hotel, hospital, pemilik kedai, industri dan sebagainya.
Jika golongan ini tidak bersedia untuk menggunakan tenaga hijau maka program CREAM ini tidak akan berjalan. Sebabnya, sebelum boleh dimulakan, pertama sekali ia memerlukan persetujuan atau kontrak antara penjana dengan pengguna.
Setelah ada persetujuan barulah pihak penjana akan berunding dengan pemilik rumah bagi menyewa bumbung rumah mereka untuk dipasang dengan panel solar yang dikenali sebagai loji tenaga solar tempatan (LCSP).
Untuk memastikan ia mula bergerak, seseorang perlu memulakannya. Mungkin pihak kerajaan (sama ada negeri mahupun Persekutuan) boleh melancarkan projek contoh supaya ia boleh menjadi ikutan pihak lain.
Bagi sektor korporat, CREAM ini boleh dijadikan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerana melaluinya mereka dapat membantu komuniti perumahan rakyat misalnya menggantikan bumbung rumah baharu dan sebagai balasan mereka dapat bekalan tenaga hijau bagi memenuhi keperluan social development goal (SDG) atau tadbir urus sosial dan alam sekitar (ESG) mereka.
Dalam persekitaran global yang menuntut kepada penghasilan produk dan perkhidmatan yang menggunakan tenaga bersih, maka sektor korporat dan perkilangan boleh memanfaatkan CREAM ini untuk mencapai objektif SDG dan ESG mereka. Pada masa sama boleh membantu memperkasakan komuniti sama ada daripada segi ekonomi mahupun alam sekitar.
Melalui CREAM semua pihak akan mendapat manfaat melalui penjanaan tenaga bersih berasaskan solar.
Datuk Ir Guntor Tobeng ialah Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. yang juga CEO Fakulti Kejuruteraan dan Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)










