PETALING JAYA: Sebanyak 4,352 jawatan sektor kesihatan akan diisi segera oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memenuhi keperluan mendesak tenaga kerja berkenaan ketika ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet kelmarin dan beliau sendiri menekankan keperluan untuk mempercepatkan proses terbabit.
“Saya telah menegas serta menekankan supaya Ketua Setiausaha KKM dan Ketua Pengarah Kesihatan menyegerakan pengisian itu melalui kaedah ‘fast track’ berbanding konvensional,” katanya selepas merasmikan Persidangan Saintifik Tahunan & Mesyuarat Agung Tahunan Ke-55 Persatuan Juru X-Ray Malaysia di sini, semalam.
Mengenai pendaftaran pengamal kesihatan bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774), Dr. Dzulkefly meminta semua pengamal perubatan menyegerakan pendaftaran dan mendapatkan Perakuan Amalan (APC) sebelum 31 Disember 2026.
“Langkah itu penting bagi mewujudkan ekosistem amalan kesihatan bersekutu yang diiktiraf, dikawal selia dan berteraskan kualiti.
“Penguatkuasaan adalah satu langkah yang baik. Fasa pendaftaran yang dilanjutkan sehingga hujung tahun hadapan perlu dimanfaatkan oleh semua pengamal untuk mendaftar dan mendapatkan APC secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Individu yang menggaji seseorang tidak berdaftar bawah Akta 774 menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pengamal profesion kesihatan bersekutu adalah suatu kesalahan.
Sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berterusan, denda tambahan hingga RM1,000 sehari boleh dikenakan.
Bagi pertubuhan, perbadanan, perkongsian atau mana-mana entiti organisasi pula, denda boleh mencecah hingga RM100,000 dan untuk kesalahan berterusan, denda tambahan sebanyak RM5,000 sehari boleh dikenakan. – MINGGUAN










