PUTRAJAYA: Perdana Menteri menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Batu Puteh yang dibangkitkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak melangkaui kuasa Peguam Negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim malah berkata, keputusan tersebut perlu dijadikan pengajaran seperti kes isu Laut Sulawesi.
Tambah beliau, ia adalah keputusan Kabinet biarpun suruhanjaya siasatan itu mengusulkan supaya laporan polis dibuat terhadap Dr. Mahathir serta tindakan susulan.
“Jadi, saya tidak melangkaui keputusan Peguam Negara. Keputusan Kabinet, saya sudah melihat misalnya walaupun kesalahan pengkhianatan itu besar tetapi melihat kepada suasana dan keadaan Tun, kita mengusulkan tak perlu ambil tindakan
“Jadi, keputusan mendakwa itu tidak sampai kerana siasatan tidak dilakukan. Siasatan polis menerusi RCI yang diketuai mantan Ketua Hakim Negara mengusulkan dengan jelas menetapkan kesalahan besar. Tetapi oleh kerana keadaan Tun kita jadikan pengajaran seperti isu Laut Sulawesi dan kita belajar daripada pengalaman itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Akhir Bahasa Piala Perdana Menteri Ke-50 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) muncul johan bahas Bahasa Melayu, sementara Sekolah Sultan Alam Shah johan bahas Bahasa Inggeris. Johan menerima hadiah wang RM5,000 dan piala.
Sebelum ini, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan ingin membawa usul untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri berhubung isu Pulau Batu Puteh.
Beliau berkata, Anwar secara jelas menyatakan Dr. Mahathir bersalah besar sedangkan beliau belum pun dituduh, dibicarakan dan dihukum oleh mana-mana mahkamah atas dakwaan terbabit.
“Kenyataan YAB (Yang Amat Berhormat) Tambun itu juga menunjukkan seolah beliau berkuasa dalam menentukan seseorang itu boleh didakwa di mahkamah atau pun tidak, sedangkan kuasa terbabit secara eksklusif ada pada Peguam Negara seperti mana termaktub dalam Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan,” kata Takiyuddin. – MINGGUAN










