KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak seolah-olah sebagai hakim dan pendakwa raya apabila membuat keputusan sendiri berhubung dirinya bersalah tanpa sebarang proses mahkamah.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Anwar sepatutnya membawa kes ke mahkamah sekiranya benar beliau melakukan kesalahan, bukannya membuat penilaian dan menjatuhkan hukuman secara terbuka tanpa perbicaraan yang sah.
“Kalau saya salah, bawa ke mahkamah. Mahkamah yang tentukan. Awak bukan hakim, awak Perdana Menteri. Awak tifsk ada hak untuk kata saya bersalah atau tidak,” katanya ketika berucap pada Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Menurut beliau, kenyataan Anwar yang menyebut tidak akan mendakwanya kerana faktor usia merupakan tindakan yang bertentangan dengan prinsip undang-undang kerana keputusan untuk mendakwa adalah di bawah bidang kuasa pendakwa raya, bukan Perdana Menteri.
“Dia kata umur saya 100 tahun, jadi atas dasar belas kasihan tidak mahu bawa kes saya ke mahkamah. Itu kerja pendakwa raya, bukan kerja Perdana Menteri. Tetapi Anwar anggap diri dia pendakwa raya, buat keputusan sendiri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir turut membidas tindakan Anwar terhadap Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang dikaitkan dengan isu pemilikan wang yang meragukan.
“Dia ragu-ragu duit itu halal atau tidak, terus nak rampas. Itu bukan hak dia. Undang-undang kata kita tak boleh rampas harta orang yang belum dibuktikan bersalah. Tapi itulah caranya,” katanya.
Beliau turut menyelar janji Anwar untuk mengagihkan wang berkenaan kepada rakyat sekiranya berjaya dirampas, sambil mempertikaikan jumlah yang diumumkan.
“Dia nak ambil duit Daim, kononnya nak bagi kepada semua orang. Seratus ringgit satu tahun? Kalau seratus sebulan bolehlah. Tapi kalau seratus setahun, sehari baru 40 sen. Nak beli secawan kopi pun tak cukup,” katanya.
Menurut Dr. Mahathir, penderitaan rakyat semakin parah akibat dasar yang tidak realistik, termasuk pelaksanaan cukai yang tinggi kononnya atas nama membantu golongan miskin.
Beliau juga berkata, kebajikan rakyat tidak seharusnya dijadikan modal politik menjelang pilihan raya.
“Tidak perlu bagi saya seratus ringgit. Bagi kepada orang miskin. Tetapi jangan guna penderitaan rakyat untuk beli undi,” katanya. – UTUSAN











