72 SBP diwujudkan Akademi Bahasa Madani

72 SBP diwujudkan Akademi Bahas Madani

FADHLINA Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara akan diwujudkan Akademi Bahas Madani secara berperingkat-peringkat

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penubuhan akademi ini adalah sebagai usaha memperkukuh kemahiran berbahasa dan pengucapan awam dalam kalangan pelajar yang bakal menyertai Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri edisi akan datang.

Beliau berkata, ia turut menjadi platform melatih pelajar menyusun dan menyampaikan pandangan dengan penuh keyakinan, kematangan dan beradab.

“Tumpuan akan diberikan kepada latihan, pemberdayaan dari sudut intelektual, hujah kritis dan latihan berterusan untuk memastikan murid terbabit, khususnya di sebanyak 72 SBP mendapat ruang dan peluang sama untuk dilatih dalam akademi berkenaan.

“Ini menjadi agenda utama kita menuju Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri yang akan datang,” katanya selepas Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pertandingan akhir itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air , Akmal Nasrullah Mohd. Nasir.

Tambah Fadhlina, penubuhan akademi itu membawa aspirasi besar sebagai antara agenda terbaik negara dalam memperkasa generasi muda.

“Agenda ini sangat baik kerana kita akan melatih lebih ramai pendebat, membuka ruang dan latihan ditumpukan kepada aspek dan kemahiran seperti ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tadi soal mengupas ilmu dan soal disiplin.

Fadhlina turut mengumumkan piala pusingan pertandingan yang sebelum ini disumbangkan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, akan diserahkan kepada Arkib Negara sementara piala baharu bagi edisi ke-51 akan disumbangkan oleh Perdana Menteri.

Sehubungan itu, katanya, pertandingan berkenaan untuk siri tahun hadapan bakal menyaksikan juara menjadi penerima pertama piala baharu berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN