Mungkin ramai tidak tahu Warung Sungai Berakir Kampung yang terletak kira-kira 16 kilometer dari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Warung berkenaan memberi peluang menikmati hidangan sambil kaki berendam dalam sungai yang airnya jernih, dingin dan ditemani panorama alam semula jadi tentunya mampu memberi ketenangan serta membangkitkan selera tersendiri.

Pengalaman itu menjadikan Warung Sungai Berakir Kampung Tapah yang terletak kira-kira 16 kilometer dari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu sebagai antara destinasi menarik port makan sambil healing.
Walaupun baru sahaja beroperasi pada 2 Jun tahun ini, perniagaan diusahakan pasangan suami isteri, Nasiruddin Mohd., 34, dan Nur Jannah Anuar,30, yang menawarkan pelbagai pilihan lauk-pauk kampung ini menjadi tumpuan serta pilihan ramai.
Nasiruddin berkata, warung dibina di atas tanah keluasan sekitar 0.4 hektar itu pada mulanya ingin dibangunkan sebagai tapak perkhemahan memandangkan lokasi tersebut begitu sesuai dengan aktiviti berkenaan.
“Setelah berbincang dengan isteri dan mengambil kira pelbagai faktor, kami membuat keputusan untuk menjalankan perniagaan kedai makan berkonsepkan makan dalam sungai sebagai daya tarikan kerana belum ramai pengusaha menggunakan konsep ini.
“Setakat pengetahuan saya, di Terengganu ini Warung Sungai Berakir Kampung Tapah adalah lokasi kedai makan atau warung pertama berkonsepkan makan sambil berendam di dalam air sungai.
WARUNG SUNGAI BERAKIR KAMPUNG TAPAH
Lokasi: Kampung Tapah, Hulu Terengganu
Waktu operasi: Setiap hari kecuali Rabu bermula pukul 10.30 pagi hingga 4.30 petang
Menu popular: Ikan baung masak tempoyak, tilapia dan kerisi goreng
Menu lain: Terdapat 20 jenis makanan termasuk ulam-ulaman
“Nama diambil sempena sebatang anak sungai yang dikenali sebagai Sungai Berakhir kerana terletak di pengakhiran atau hujung. Perkataan berakhir dalam loghat tempatan di sini pula disebut berakir.
“Hanya kawasan di sekitar warung ini di sepanjang sungai yang mempunyai hamparan batu-batu sungai, di tempat lain cuma pasir sungai selain tebing-tebing,” katanya ketika ditemui.
Warung Berakir Kampung Tapah dibuka setiap hari kecuali Rabu bermula pukul 10.30 pagi hingga 4.30 petang dengan pelbagai variasi lauk-pauk kampung dan ulam-ulaman.
Pelanggan yang datang boleh memilih dan mengambil secara layan diri kira-kira 20 jenis aneka lauk yang ditawar, sambal serta beberapa jenis budu sebagai pelengkap hidangan.
“Menu yang paling menjadi daya tarikan utama di sini tentunya ikan baung masak tempoyak yang dijual dengan harga bermula antara RM7 atau RM8 sehingga RM15 seketul bergantung kepada saiz serta bahagian ikan sama ada badan, ekor atau kepala.
“Walaupun masakan ini boleh didapati di tempat lain memandangkan ia telah menjadi sebagai identiti Kuala Berang, namun rasa setiap kedai pastinya berbeza. Resipi digunakan oleh keluarga secara turun-temurun, saya generasi ketiga.
“Antara lauk pauk lain yang ada juga adalah tilapia goreng dijual antara RM12 hingga RM15 seekor, ikan kerisi goreng RM7 hingga RM8 seekor. Harga ini juga berubah bergantung kepada pasaran bekalan ikan semasa.
“Minuman pula buat masa ini cuma beberapa jenis sahaja antaranya teh o ais, sirap ais serta serta sirap bandung. Jenis air akan ditambah dari semasa ke semasa,” ujarnya yang mempunyai antara enam hingga 13 pekerja bergantung kepada hari.
Menurut bapa tiga anak berusia tiga, enam dan sembilan tahun ini, memandangkan Warung Sungai Berakir masih baru beroperasi, pihaknya masih dalam proses penambahbaikan bagi memberi lebih keselesaan kepada pelanggan.
Katanya, berdasarkan perancangan, selain makan di dalam sungai pada masa akan datang pelanggan boleh menikmati hidangan di bawah pokok buah-buahan yang ada di situ.
Sepanjang tempoh musim tengkujuh warung berkenaan tidak beroperasi memandangkan paras air meningkat serta berlakunya banjir. – UTUSAN









