PUTRAJAYA: Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pengantara dalam usaha mendamaikan konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menyatakan penghargaan terhadap cadangan Malaysia bagi mewujudkan proses damai dan gencatan senjata antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan insiden tembak-menembak masih berlaku di beberapa kawasan tertentu.
“Masih berlaku tembak-menembak di sempadan Thailand-Kemboja. Saya telah mengarahkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan, segera menghubungi pihak berkaitan dan jika perlu saya sendiri akan menghubungi kedua-dua pemimpin bagi menghentikan pertempuran buat sementara waktu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 di sini hari ini.
Sebelum ini, Kuala Lumpur menyambut baik isyarat positif dan kesediaan ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan gencatan senjata ekoran konflik antara kedua-dua negara itu.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN merayu kepada pemimpin Thailand dan Kemboja agar segera melaksanakan gencatan senjata demi mengelakkan konflik lebih buruk serta membuka ruang dialog damai dan penyelesaian secara diplomatik. – UTUSAN











