Jangan gugat ketenteraman negara - KPN

Jangan gugat ketenteraman negara – KPN

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Para peserta ‘Himpun Turun Anwar’ hari ini diingatkan agar mematuhi undang-undang sedia ada agar ketenteraman dan keselamatan negara tidak tergugat.

Polis menganggarkan seramai 10,000 hingga 15,000 orang bakal menyertai perhimpunan tersebut yang dijangka bermula kira-kira pukul 2 petang di Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menjangkakan 300,000 hingga 500,000 orang daripada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan orang awam akan menyertai himpunan hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, segala bentuk kerjasama daripada semua pihak amat dihargai agar suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh perhimpunan.

Katanya, PDRM komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan hari ini dilaksanakan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama.

“PDRM mengambil maklum mengenai penganjuran satu perhimpunan aman yang dijadualkan berlangsung esok bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang sentiasa menjunjung perlembagaan persekutuan, PDRM menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib, selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Adalah menjadi harapan kami agar setiap suara yang dizahirkan dapat disampaikan dalam suasana yang saling menghormati dan berlandaskan nilai kesopanan serta adab masyarakat malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd. Khalid berkata, bagi masyarakat umum yang mungkin tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan ini, PDRM menyarankan orang ramai dapat merancang perjalanan lebih awal dan menyemak maklumat trafik semasa.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau kelewatan, memandangkan aliran trafik dijangka mengalami sedikit perubahan sepanjang berlangsungnya perhimpunan,” jelasnya.

Ujar Mohd. Khalid, dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan negara, PDRM ingin memberi jaminan bahawa keselamatan awam akan terus dipelihara, dan dalam masa yang sama hak-hak kebebasan rakyat akan tetap dihormati.

“Kami percaya bahawa perimbangan antara hak demokrasi dan pemeliharaan undang-undang boleh dicapai melalui kerjasama yang erat dan rasa tanggungjawab bersama.

“PDRM amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan menyeru agar semua pihak terus memainkan peranan secara berhemah dan matang.

“Marilah kita bersama-sama memastikan setiap ruang demokrasi yang terbuka ini dimanfaatkan secara positif, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×