JITRA: Thailand dan Kemboja setuju untuk melaksanakan gencatan senjata susulan gesaan dibuat Malaysia hasil perbincangan panjang antara Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja, semalam.
Menurut Perdana Menteri, perbincangan yang berlangsung menerusi panggilan telefon itu dibuat atas dasar hubungan baik Malaysia dengan kedua-dua negara serta penghormatan mereka terhadap kedudukan Malaysia di rantau ini.
“Saya menyatakan pandangan kepada mereka, tolong sebagai sahabat Malaysia lakukan segera gencatan senjata.
“Mereka bersetuju dengan cadangan itu, namun meminta sedikit masa kerana tentera sudah berada di sempadan dan memerlukan waktu untuk dimobilisasi keluar,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2025 di sini, semalam.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Anwar turut melahirkan rasa syukur kerana gesaan Malaysia itu disambut dengan penuh hormat, sekali gus menggambarkan kedudukan negara ini sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan terus berkembang pesat di rantau ini.
“Syukur alhamdulillah kerana mereka menerima pandangan kita dengan baik. Ini kerana Malaysia sebuah negara aman dan stabil. Sebab itu ada yang cemburu, baik dari dalam mahupun luar negara.
“Dalam ceramah, ada yang kata ekonomi hancur, rakyat melarat. Tak apalah kerana itu helah politik tapi hakikatnya negara ini terus membangun. Bandingkan dengan negara-negara jiran, kita berada pada kedudukan jauh lebih baik,” tegasnya.
Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Luar mengambil tindakan susulan berhubung perbincangan tersebut bagi memastikan usaha mendamaikan konflik berjaya dilaksanakan demi keamanan serantau.
Dalam perkembangan terbaharu, hampir 140,000 penduduk di kawasan sempadan Thailand dan Kemboja melarikan diri ketika kedua-dua negara terus berbalas tembakan untuk hari kedua berturut-turut.
Pertempuran terburuk dalam tempoh lebih sedekad itu berlanjutan walaupun terdapat desakan negara serantau dan antarabangsa agar kedua-dua pihak melaksanakan gencatan senjata bagi meredakan ketegangan yang setakat ini meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa.
Menurut tentera Thailand, pertempuran hari kedua tercetus awal pagi Jumaat di wilayah Ubon Ratchathani dan Surin, dengan mendakwa pasukan Kemboja menggunakan artileri berat serta sistem roket buatan Russia jenis BM-21.
“Pasukan Thailand membalas dengan tembakan sokongan yang bersesuaian mengikut situasi taktikal semasa,” menurut kenyataan tentera, semalam.
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phutham Wechayachai turut memberi amaran pertempuran rentas sempadan dengan Kemboja boleh berkembang menjadi perang.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau turut meminta Perdana Menteri Turkiye, Erdogan untuk sekali lagi menghubungi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump demi keamanan di Gaza.
“Saya tak ada hubungan peribadi dengan Trump, dan saya minta Presiden Erdogan my dear brother please bagi pihak negara-negara Islam tolonglah cari jalan hubungi sekali lagi Trump dan beritahu yang bukan saja derita di Gaza tapi umat Islam keseluruhannya.
“Malah di Malaysia ini pun ramai yang bukan Islam punya perasaan yang sama. Jadi Presiden Erdogan janji beliau akan cuba dalam beberapa hari lagi hubungi Trump,” katanya.
Dalam soal Iran, Anwar berkata, dia mengambil pendekatan berani untuk menyokong tindakan balas negara itu terhadap Israel kerana rakyat Malaysia senada mengutuk perbuatan terbabit.
“Israel serang Iran, sebelum itu serang Gaza, Iraq, Lubnan, Syria. Ini apa punya jahat kerajaan yang boleh buat sewenang-wenangnya tapi negara-negara Islam oleh kerana lemah dan tak bersatu nak telefon bagi sokongan kepada Presiden Iran pun tak boleh buat, bukan nak hantar tentera pun nak telefon saja.
“Tapi saya fikir juga, tarif dengan Trump tak selesai lagi, pasal Gaza dah lantang sebelum ini jadi nak cakap atau tak dengan Presiden Iran? Saya pilih untuk bercakap sebab apa saya berani kerana saya tahu rakyat bersama kita, politik stabil, ekonomi berkembang. Kalau negara kucar-kacir tak usah temberang tak akan berani, mampus kalau dia tekan sekali,” katanya. – UTUSAN











