Cameron Highlands perlu tandas, parkir

Cameron Highlands perlu tandas, parkir

TAMAN Sedia antara lokasi tumpuan pelancong yang memerlukan kemudahan tandas awam di Cameron Highlands, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Penduduk dan peniaga tempatan berharap pihak berwajib memberi perhatian terhadap ke­perluan asas pelancongan se­perti tandas awam, tempat letak kereta dan pengurusan kebersihan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Memuatkan artikel berkaitan…

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi tumpuan seperti Brinchang, Kea Farm, Tanah Rata, Habu dan Taman Sedia mendapati, suasana perniagaan semakin rancak, namun masalah lama seperti kesesakan lalu-lintas, kekurangan parkir dan kemudahan awam masih membelenggu.

Penduduk, Zuleikha Razlin Zulkepli, 22, yang membantu keluarganya mengusahakan kedai skon popular di Taman Sedia berkata, ketiadaan tandas awam jelas memberi kesulitan kepada pelancong.

“Umum tahu Cameron Highlands antara destinasi tanah tinggi popular di Malaysia dan saban minggu menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh negara, terutama pada musim cuti sekolah dan hujung ming­gu.

“Sekarang ini bila pelawat datang berkunjung ke Taman Sedia, mereka hanya bergantung pada tandas surau dan kedai makan. Kalau ada bayi yang nak tukar lampin atau warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang ingin menggunakan tandas, memang susah nak cari kemudahan yang sesuai,” katanya.

Zuleikha Razlin berkata, Taman Sedia menjadi lokasi pilihan ramai kerana majoriti inap desa di kawasan itu dimiliki penduduk tempatan dan menyediakan kemudahan parkir yang selesa kerana berkonsepkan rumah bukan bertingkat.

Penduduk Brinchang, Mohd. Sayuti Abu Bakar, 48, berkata, selain isu tandas, penduduk mencadangkan supaya tempat letak kenderaan bertingkat dibina di kawasan strategik se­perti Kea Farm dan Brinchang bagi mengatasi masalah kesesakan yang tidak dapat dielakkan.

“Kesesakan mungkin tak boleh dielakkan sebab orang datang memang ramai. Tapi parkir boleh diurus lebih baik kalau ada pelaburan bina tempat bertingkat,” katanya.

Di kawasan Habu pula, peniaga hasil tani, K. Sanmugam, 67, menyuarakan keperluan menambah tong sampah kerana sikap sesetengah pelancong yang membuang sampah merata-rata menjejaskan imej kawasan pelancongan itu.

“Tempat macam ini memang ramai orang cari makan. Tapi tong sampah sangat kurang. Sampah bersepah bukan sahaja busuk, tapi memalukan. Kalau pelancong luar datang tengok Cameron kotor, malu kita,” katanya.

Sanmugam berkata, isu tandas awam turut menjadi keluhan dan difahamkan sudah ada tapak disediakan untuk pembinaan tandas awam di Habu, namun sehingga kini tiada sebarang pembangunan dimulakan.

“Sekarang ini orang beratur panjang di stesen minyak semata-mata nak ke tandas. Ini kawasan pelancongan, jadi tandas awam sepatutnya jadi keutamaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN