PETALING JAYA: Jabatan Imigresen (Imigresen) Kuala Lumpur menahan enam gadis pelayan pelanggan (GRO) yang bekerja di sebuah kelab malam sekitar Kuchai Lama, di sini, sehingga dipercayai mampu mengaut pendapatan mencecah ribuan ringgit.
Perkara itu diakui sendiri oleh seorang wanita tempatan berusia lingkungan 50-an yang digelar ‘mamee’, dipercayai berperanan sebagai penjaga premis berkenaan.
Wanita tempatan itu antara 20 individu ditahan menerusi Ops Gegar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai enam wanita disyaki GRO ditahan iaitu tiga warga Thailand dan tiga warga Vietnam manakala empat lelaki warga Taiwan, lima lelaki Bangladesh dan seorang lelaki China.
“Turut ditahan seorang wanita warga Malaysia yang disyaki bertindak sebagai pengurus kelab berkenaan.
“Pemeriksaan di premis turut menemukan kalungan dengan nilai tip berbeza bermula RM100 hingga RM2,000,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.
Menurutnya, semua warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Warga tempatan yang ditahan akan disiasat mengikut 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melindungi PATI,” katanya. – UTUSAN











