Tangguh pengajian, Muhamad Johan hasilkan `The Enigma’

Tangguh pengajian, Muhamad Johan hasilkan `The Enigma’

MUHAMAD Johan Mohd Haniff (dua, kiri) pada pelancaran novel The Enigma di Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025, bertempat di Kompleks PKNS, Shah Alam, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penulis muda, Muhamad Johan Mohd Haniff, 21, tidak menyesal menangguhkan pengajian demi menerbitkan novel pertamanya bertajuk ‘The Enigma’.

Muhamad Johan berkata, keputusan itu dibuat selepas satu tahun menyambung pengajian di Kolej Brickfields Asia (BAC), Petaling Jaya dalam jurusan perfileman.

“Selepas saya ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya sambung dalam jurusan filem tetapi setelah satu tahun, saya mengalami tekanan yang agak teruk dan tidak boleh membawanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika itu, saya berhenti belajar selama sembilan bulan dan dalam masa yang sama, saya menghabiskan manuskrip saya,” katanya ditemui di majlis pelancaran buku The Enigma di Kompleks PKNS di sini, pesta Buku Kanak-Kanak Selangor hari ini.

Pelancaran novel itu sempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Kata Muhamad Johan, keputusan itu tidak membuatnya patah semangat untuk meneruskan kembali pengajian dalam bidang perundangan di universiti yang sama.

Beliau berkata, penerbitan novel pertamanya kali ini sangat istimewa kerana ia dihasilkan berdasarkan minatnya terhadap super hero sejak kecil dan mendapat inspirasi daripada penulis terkenal dari luar negara.

“Saya mula menulis ketika berumur belasan tahun dan sangat meminati penulis seperti JK Rowling dan Rick Riordan.

“Saya sangat terinspirasi dengan hasil mereka dan membuatkan ssaya ingin jadi seperti mereka iaitu menulis buku-buku bergenre sains fiksyen. Kalau mereka boleh, saya mesti boleh,” katanya.

Katanya, dia berharap agar novel `The Enigma’ mendapat sambutan yang baik daripada pembaca dan mendapat perhatian penulis-penulis luar negara.

Sementara itu, ibu Muhamad Johan, Noor Fadhilah Noor Azim berkata, kejayaan anaknya dalam menghasilkan novel itu satu pencapaian yang membanggakan.

“Anak saya seorang yang introvert, tetapi dengan bakat yang sangat luar biasa dalam mengenali superhero, saya percaya Johan mampu menjadi penulis novel sains fiksyen yang hebat.

“Sebagai ibu, saya menyokong apa sahaja yang diminatinya dan sentiasa memberi nasihat atas apa sahaja keputusan yang dilakukan oleh Johan. Saya inginkan dia berjaya,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan buku The Enigma di pesta Buku Kanak-Kanak Selangor, bertempat di Kompleks PKNS, Shah Alam sehingga 26 Julai di reruai Johan Haniff. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN