KOTA BHARU: Kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam mengenai isu penjualan kilang padi oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) adalah tidak tepat.
Pengerusi KADA, Khalid Abd. Samad berkata, pihaknya tidak mempunyai kaitan dalam isu tersebut sebagaimana ucapan Mohd. Nassuruddin meskipun terdapat syarikat yang menggunakan nama agensi berkenaan.
“Kilang padi yang dimaksudkan sebenarnya diuruskan Lembaga Syarikat Kilang Padi Asas Tani yang juga gabungan beberapa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta koperasi, yang sebahagiannya berada dalam kawasan pemantauan KADA dan sebahagian lagi di luar kawasan KADA.
“Kilang ini ditubuhkan pada 1993 dan beroperasi sehingga 2011. Bagaimanapun prestasi kewangan yang lemah termasuk kerugian sebanyak RM400,000 pada 2010 dan lebih RM500,000 pada 2011 menyebabkan operasinya dihentikan.
“Namun pada 2021, mesyuarat khas lembaga pengarah syarikat berkenaan memutuskan untuk menjualnya dan setelah melalui proses penilaian dan tender, dua tawaran diterima, masing-masing RM4.4 juta dan RM4.8 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas kenyataan Mohd. Nassuruddin yang kesal apabila Kilang Padi Beras Darul Naim yang pada asalnya milik koperasi KADA dijual sepenuhnya kepada sebuah syarikat tanpa pengetahuan.
Mohd. Nassuruddin berkata, susulan itu kerajaan negeri terpaksa membeli 35 peratus pegangan saham dalam usaha menyelamatkan kilang berkenaan daripada menjadi milikan penuh syarikat tersebut.
Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, Mohd. Nassuruddin sepatutnya menyemak terlebih dahulu fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Katanya, KADA perlu menyediakan satu dasar yang dimaklumkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bahawa penggunaan nama agensi itu hanya boleh dibenarkan dengan kebenaran rasmi KADA.
“Jika tidak, ia boleh menimbulkan salah faham seperti yang sudah berlaku, di mana nama KADA dikaitkan dengan satu usaha yang sebenarnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan agensi ini dan pihak kami tidak terlibat langsung.
“KADA juga berharap isu ini tidak dipolitikkan dan meminta semua pihak memberi ruang kepada penjelasan rasmi demi menjaga integriti dan reputasi agensi kerajaan,” katanya. – UTUSAN











