KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) sedang mempertimbang untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian ladang sawit Estet Telupid di Beluran, Sabah yang didakwa mencetuskan keraguan dari segi prosedur dan ketelusan pengurusan.
Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi PN, Bakri Jamaluddin berkata, pembelian tanah seluas 767.8 hektar bernilai RM62.29 juta oleh Felcra Berhad pada 2022 menimbulkan kebimbangan wujudnya salah laku dan penyelewengan sebagaimana didedahkan dalam Laporan Kedua Ketua Audit Negara (LKAN) 2025.
“Laporan audit menyatakan terdapat kelemahan serius dalam proses perolehan, penilaian harga serta pematuhan terhadap kontrak. Ini bukan perkara kecil kerana melibatkan wang rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen, hari ini.
Bakri yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, antara isu utama dibangkitkan ialah tindakan Felcra tidak melantik perunding luar bebas dan profesional bagi menilai urus niaga tersebut, sebaliknya hanya bergantung kepada anak syarikat sendiri untuk membuat penilaian.
“Lebih mengejutkan, penilaian dalaman itu sendiri mengklasifikasikan Estet Telupid sebagai ‘kurang berdaya maju’ iaitu hanya 21 peratus tanah dikategorikan sebagai ‘sesuai’, 64 peratus ‘sederhana sesuai’ manakala 13.7 peratus langsung ‘tidak sesuai’ kerana bentuk muka bumi yang curam, berbukit dan berombak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Bakri berkata, walaupun penilaian tersebut jelas menunjukkan risiko tinggi, pembelian itu tetap diteruskan oleh pengurusan tertinggi Felcra tanpa mematuhi keputusan mesyuarat terdahulu serta tanpa kajian daya maju yang telus.
Beliau berkata, laporan audit turut menyentuh kelemahan dalam pengurusan hasil sawit dan ketidakpatuhan kepada kontrak yang ditandatangani.
Katanya, sebarang kecuaian atau keputusan tidak berhemah oleh syarikat milik kerajaan (GLC) tidak boleh dianggap perkara biasa kerana membabitkan wang awam dan menjejaskan kepentingan rakyat.
“Jangan jadikan pengurusan GLC sebagai tempat mengambil laba politik atau bersikap sambil lewa hanya kerana tahu kerajaan akan terus menjamin kedudukan mereka. Persepsi seperti ini merosakkan reputasi GLC dan menjauhkan mereka daripada objektif sebenar untuk menjana manfaat kepada rakyat.
“PN akan terus meneliti laporan tersebut secara menyeluruh dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya termasuk membuat laporan rasmi kepada SPRM,” katanya. – UTUSAN











