Ismanira tidak pernah biar Zayn bersendirian - Rakan

Ismanira tidak pernah biar Zayn bersendirian – Rakan

ISMANIRA Abdul Manaf ditemani suaminya, Zaim Ikhwan Zahari hadir untuk prosiding bela diri bagi kes pengabaian anak autisme mereka Zayn Rayyan, di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penyambut tetamu sebuah firma guaman memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia tidak pernah melihat Zayn Rayyan Abdul Matin dan adiknya dibiarkan bersendirian tanpa pengawasan ibu bapanya di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Umi Syafiqah Rohizal, 30, yang juga saksi pembelaan keempat, dia juga sering melihat Ismanira bersama dua anak lelakinya itu menuruni tangga menuju ke tempat letak motosikal untuk dihantar ke sekolah dan taska terutamanya pada waktu pagi.

“Selalunya saya dan Ismanira berjumpa pada waktu pagi sebelum pergi kerja dan kadang-kala pada waktu petang (selepas) balik kerja. Kebiasaannya saya melihat (Ismanira dan dua anaknya) sebab Ismanira akan turun (tangga) melalui kawasan parkir motosikal.

“Selalunya Ismanira akan memegang tangan anak dia sama ada Zayn atau Mateen. Selalunya saya nampak mereka akan berada di bahagian kanan atau kiri Ismanira, bersebelahan sahaja,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam bela, Haresh Mahadevan.

Dia turut memaklumkan bahawa Zayn Rayyan tidak pernah dibiarkan bermain di taman permainan tanpa pengawasan ibunya manakala Ismanira juga tidak pernah dilihat bersendirian tanpa anak-anaknya di sisi.

Tambah saksi itu, dia menetap di di blok S, apartmen yang terletak berhadapan tangga Blok R, tempat Ismanira tinggal bersama suami dan dua anak mereka sejak 2019.

Umi Syafiqah turut memberitahu, dia mengenali Ismanira sejak mereka berusia sembilan tahun dan menyifatkan sahabat baiknya itu sebagai seorang yang lemah lembut dan penyayang.

“Saya mengenali Ismanira dari sekolah rendah. Dia seorang yang lemah lembut dan penyayang. Saya terputus hubungan dengan Ismanira selepas waktu sekolah dan saya berjumpa semula pada tahun 2018,” katanya.

Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi, saksi pembelaan keempat itu memberitahu tidak pasti waktu Ismanira menghantar anak-anaknya ke sekolah.

Sebelum ini, Ismanira ada memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia selalu keluar rumah untuk menghantar Zayn Rayyan ke sekolah pada pukul 7.30 pagi sebelum mengambilnya semula pada pukul 11.50 pagi.

Nur Sabrina: Jelaskan kepada mahkamah, setiap hari puan pergi kerja pukul berapa?
Umi Syafiqah: Antara pukul 9 hingga 9.30 pagi.

Nur Sabrina: Jadi kalau puan cakap, puan nampak Ismanira dengan anak-anak (waktu) pagi tu dalam pukul 9.30 pagilah?
Umi Syafiqah: Tidak pasti.

Nur Sabrina: Tadi dalam keterangan, puan cakap nampak Ismanira ni bawa anak-anak nak pergi sekolah. Tapi bila saya tanyakan pukul berapa, sekarang puan cakap tak pasti. Kenapa tak pasti?
Umi Syafiqah: Kadang-kadang saya ini masuk kerja lambat.

Nur Sabrina: Saya katakan kepada puan, sebenarnya puan tak nampak pun Ismanira dengan anak-anak pada sebelah pagi ini. Puan setuju ke tak setuju?
Umi Syafiqah: Saya tak setuju.

Pada Isnin lalu, Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya, Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.

Pasangan itu sebelum ini bersama-sama didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi pada 4 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN