Suami isteri didenda, dipenjara selepas dera anak guna kulit durian

Suami isteri didenda, dipenjara selepas dera anak guna kulit durian

BUNYAMIN Sukiman (kiri) dan Yorlini (dua kanan) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi berdepan pertuduhan mendera anak mereka menggunakan kulit durian minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri masing-masing dijatuhi denda dan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan mereka menggunakan kulit durian, minggu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, ibu kandung mangsa, Yorlini Abdullah Umar, 32, dan suaminya, Bunyamin Sukiman, 42, yang juga bapa tiri kanak-kanak tersebut didakwa mendera mangsa yang berusia lapan tahun sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian badan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kediaman di Jalan Ampang, di sini pada pukul 6 petang, 16 Julai lalu.

Mengikut fakta kes, kejadian disedari selepas guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) sekolah mangsa belajar ketika memanggil kanak-kanak itu berhubung aduan kononnya pelajar itu telah memotong tudung pelajar lain.

Sewaktu siasatan oleh pihak sekolah, mangsa mendedahkan telah dipukul dan telinganya dipulas oleh ibu bapanya. Mangsa turut memberitahu ditumbuk oleh bapa tirinya.

Selain itu, mangsa memberitahu tangannya telah diletakkan ke atas lantai sebelum kulit durian dijatuhkan ke atas tangan tersebut. Tangannya yang terluka kemudian direndam ke dalam air garam suam.

Tidak cukup dengan itu, tangan mangsa turut diikat menggunakan pita pelekat dan dibiarkan sehingga keesokan harinya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur, memohon hukuman berat dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan mangsa merupakan kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi.

“Perbuatan mengambil kulit durian dan menghempapnya ke tangan mangsa, kemudian merendam tangan yang luka ke dalam air garam suam adalah tindakan yang ekstrem dan amat zalim.

“Ibu bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak, bukan tempat untuk melepaskan geram. Hukuman berat perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, peguam bela, Simret Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman minimum atas alasan Yorlini tidak bekerja dan hanya bergantung kepada Bunyamin yang bekerja sebagai penasihat jualan kenderaan.

Tambah peguam itu, pasangan terbabit mempunyai dua anak termasuk mangsa serta telah ditahan reman selama tujuh hari. Mereka juga telah kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh menjatuhkan hukuman denda RM18,000 terhadap Yorlini dan jika gagal dibayar, tertuduh boleh dipenjara selama tiga bulan.

Bunyamin pula dihukum penjara lima tahun bermula dari tarikh tangkap 18 Julai lalu. Selain itu, kedua-dua tertuduh turut diperintahkan bon berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran serta menjalankan khidmat masyarakat selama 12 bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN