KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sekali lagi menjadi tumpuan selepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 dan kebebasan Jabatan Audit Negara menjadi pertikaian dalam sesi perbahasan laporan tersebut semalam.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan keabsahan laporan yang dibentangkan Isnin lalu ekoran jawatan Ketua Audit Negara yang dikatakan masih penjawat awam ketika dilantik.
Katanya, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi masih merupakan pegawai tadbir diplomatik (PTD).
“Untuk menjadikan laporan ini sah, maka orang yang bertanggungjawab yang menyelia dan keluarkan laporan ini mestilah orang yang sah dilantik mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
“Saya ingin tarik perhatian ini kepada Perkara 105 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Ketua Audit Negara, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.
“Ini bermaksud jawatan Ketua Audit Negara tidak boleh daripada pegawai awam sedang berkhidmat,” katanya.
Takiyuddin menggesa kerajaan agar menjelaskan sama ada pelantikan Ketua Audit Negara dalam kalangan pegawai kerajaan adalah sah mengikut Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.
“Ini sudah tentu berlaku konflik kepentingan. Ketua beliau adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN). Bagaimana seorang Ketua Audit Negara hendak buat audit terhadap tugas yang dilaksanakan bos beliau sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) turut mempersoal peranan Jabatan Audit Negara dalam sebuah program anjuran kerajaan termasuk program Santuni Madani.
Katanya, persoalan tersebut timbul selepas terdapat poster promosi program Santuni Madani anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri di laman Facebook Jabatan Audit Negara.
“Saya terkejut tindakan kerajaan mengarahkan jabatan ini terlibat sama. Walaupun ia kelihatan biasa, tetapi penglibatan ini secara tidak langsung memberi kesan sebagai juruaudit .
“Saya beri contoh, bayangkan bagaimana Jabatan Audit Negara mahu audit program berkenaan apabila mereka sendiri jadi pendukung kepada program itu? Ini ancaman advokasi kepada kebebasan juruaudit satu-satu unit tersebut. Malah ini juga ancaman semakan sendiri, mereka semak benda mereka buat,” katanya.-UTUSAN.










