Warisan Orang Asli masih bernyawa

Warisan Orang Asli masih bernyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam hiruk-pikuk dunia moden yang sarat dengan teknologi dan budaya popular, siapa sangka irama sewang serta gerak silat warisan masih mengalun kuat, membelah sunyi dan menyalakan api jati diri bangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Itulah semangat yang diangkat dalam Festival Kesenian Peribumi Malaysia (Feskep) 2025, sebuah perayaan agung seni dan warisan Orang Asli.

Bertempat di Dataran Temerloh, Pahang, festival empat hari bermula 17 Julai itu menyaksikan lebih 20 kumpulan kesenian dan produk dari pelbagai suku kaum Orang Asli iaitu Semai, Mah Meri, Jahut, Temiar, Bateq, Jakun dan Semelai.

Bukan sekadar persembahan, Feskep adalah suara, roh dan jantung sebuah tamadun yang tidak pernah hilang.

Setiap gerak tari, lenggok lagu dan coretan ukiran adalah simbol kehidupan hasil falsafah serta pengalaman turun-temurun yang terus dihidupkan generasi baharu.

Kumpulan seperti Warisan Bah Bola (Semai), Seri Panggung Pulau Carey (Mah Meri) dan Sewang Teras Ruai (Jahut) tampil dengan persembahan asli dari kampung halaman, memperlihatkan seni Orang Asli bukan direka untuk persembahan pentas semata, tetapi berasal dari ritual,

doa dan kehidupan harian.

Tidak ketinggalan persembahan kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan Tasik Chini (Jakun) yang membuktikan warisan ini bukan sekadar nostalgia, tetapi dihidupkan semula oleh generasi muda yang kian sedar akan nilai jati diri mereka.

 

DARI TEMERLOH KE DUNIA
Tahun 2025 menandakan langkah baharu apabila ia bukan lagi festival lokal, sebaliknya medan pertemuan budaya peribumi antarabangsa.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, keterlibatan etnik peribumi dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Filipina serta masyarakat Maori dari New Zealand bakal menjadikan Feskep sebagai festival kesenian Orang Asli terunggul di rantau ini.

“Pendedahan berskala global ini bukan sahaja mengangkat martabat budaya peribumi Malaysia, bahkan menepis persepsi kononnya mereka hanya kelompok terpinggir yang tiada nilai komersial.

“Bayangkan penari buluh dari Sarawak berganding dengan etnik Tagbanua dari Palawan atau penyair Semai berbalas pantun dengan suku Karen dari Thailand, inilah nilai tambah yang ingin ditonjolkan,” katanya.

Selain persembahan kebudayaan, Feskep turut mengetengahkan seminar pemikiran peribumi, forum adat, bengkel kraf tangan dan pameran hasil inovasi Orang Asli dalam bidang seni digital, muzik moden serta keusahawanan kreatif.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusoff berkata, pihaknya meluluskan RM750,000 kepada 11 pertubuhan seni budaya di Pahang dan RM170,000 kepada tiga persatuan Orang Asli bagi tahun 2024.

Feskep 2025 dianjurkan secara bersama oleh Motac melalui JKKN dengan kerjasama Persatuan Seni Gerak Lian Pahang, yang diketuai oleh Pendekar Zulkifli Hussain.

Menurut Zulkifli, pihaknya bertanggungjawab menyelaras pengisian program persembahan tradisi seperti silat, teater rakyat dan persembahan ritual etnik sebagai simbolik penghormatan kepada roh seni peribumi yang kian terhakis di arus modenisasi.

“Kami bukan sekadar tampilkan seni untuk hiburan, tetapi mahu penonton menghayati falsafah, nilai dan spiritualiti yang terkandung dalam setiap gerak dan irama persembahan Orang Asli,” katanya.

Tambahnya, festival itu juga menjadi platform memperkenalkan sistem latihan seni warisan secara tersusun, termasuk melalui bengkel Gerak Lian dan demonstrasi pertahanan diri yang diinspirasikan daripada alam semula jadi, seperti pergerakan burung, harimau dan sungai.

“Feskep ialah medan untuk menyuntik jati diri anak muda supaya tidak malu dengan akar budaya. Apabila budaya peribumi dihargai, ia memberi kekuatan baharu kepada identiti bangsa Malaysia,” ujarnya.

Festival itu berjaya menarik kira-kira 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara, sekali gus membuktikan seni dan budaya Orang Asli bukan hanya warisan tempatan tetapi juga aset dunia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN