KLANG: Pengusaha bas ekspres dan persiaran diwajibkan mematuhi garis panduan pengeluaran dokumen kerja dalaman bagi pendawaian elektrik tambahan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati sebanyak 65,520 bas akan terlibat dalam proses itu secara berperingkat setakat ini.
Ketetapan baharu itu susulan insiden mengorbankan nyawa seorang remaja lelaki yang terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit pada soket sebuah bas di Terminal Penang Sentral, Pulau Pinang, 1 November tahun lalu.
Mengumumkan perkara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, siasatan mendapati wujud kecuaian pemasangan pendawaian elektrik bagi arus ulang alik (AC) tanpa pengawasan individu yang kompeten.
Jelas beliau, pendawaian elektrik tambahan merupakan litar elektrik yang dipasang dalam kenderaan motor bagi membekalkan AC melebihi 50 voltan (V) kepada kelengkapan seperti soket, alat pemanas air dan sistem hiburan.
“Pendawaian itu bukan sebahagian daripada sistem asal yang dipasang oleh pengilang dan lazimnya ditambah bagi kemudahan pengguna.
“Bagi memastikan keselamatan bas dan penumpang, JPJ merangka dokumen kerja dalaman iaitu Internal Work Sheet (IWSe) sebagai bukti pematuhan rasmi keperluan teknikal dan keselamatan pendawaian elektrik tambahan itu,” katanya selepas meninjau sebuah kilang pembuatan bas di Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
Menurut Aedy Fadly, dokumen kerja dalaman itu memfokuskan tiga komponen utama termasuk pemeriksaan am kemasan dan kekemasan pemasangan.
“Selain itu, ia melibatkan pemeriksaan keselamatan elektrik seperti sistem perlindungan dan pembumian serta ujian fungsian bagi memastikan semua peralatan beroperasi dengan baik.
“Pengesahan dokumen itu hanya boleh dilakukan bawah seliaan juruteknik berdaftar JPJ dan mempunyai kelayakan minimum Pendawai Fasa Tunggal Endorsan Pengujian Pepasangan (PW2) yang diiktiraf Suruhanjaya Tenaga (ST),” ujarnya.
Beliau berkata, dokumen itu wajib dikemukakan ketika pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) termasuk bas binaan tempatan yang turut memerlukan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (PPP).
“Bagi kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2026, tempoh peralihan selama setahun akan diberikan sebelum penguatkuasaan penuh dilakukan bermula 2027,” katanya.
Tambah Aedy, pemilik bas yang masih menggunakan sistem pendawaian elektrik tambahan perlu mengemukakan dokumen IWSe sebagai bukti pemasangan dilakukan mengikut spesifikasi. – UTUSAN











