KUALA TERENGGANU: Tiada ruang bagi individu yang berselindung di sebalik perniagaan kosmetik dan jualan dalam talian untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah kerana kegiatan seperti itu sentiasa dipantau polis.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, polis tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadikan perniagaan sebagai ‘topeng’ untuk kegiatan haram berkenaan.
Katanya, hasil risikan mendapati, ada peniaga menggunakan platform dalam talian sebagai helah mengaburi kegiatan mereka.
“Jangan ingat kita tidak tahu. Kita tahu dan kita pantau. Individu yang menyamar sebagai peniaga kosmetik atau produk kecantikan untuk edar dadah pasti diberkas. Baru-baru ini, kita menahan seorang peniaga kosmetik dikenali sebagai ‘Man Hidung’ yang menjalankan kegiatan dadah di sebalik perniagaan sah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik bagi Program Pelupusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.
Sementara itu, Mohd Khairi berkata, sebanyak 56,232.43 gram dadah dan 2,572.54 liter cecair terlarang yang selesai melalui proses undang-undang dilupuskan hari ini, membabitkan nilai keseluruhan RM1.1 juta.
“Dadah terbabit melibatkan 2,999 kertas siasatan sejak tahun 2001 hingga 2025 yang sudah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan. Antara bahan dilupuskan ialah pil yaba, syabu, heroin, ganja, Eramin 5, psikotropik, ubat batuk serta air dan daun ketum,”tambahnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan sehingga 20 Julai lalu, sebanyak RM62,971,698 juta nilai rampasan dadah direkodkan berbanding RM1.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu manakala seramai 7,832 individu ditahan berbanding 7,239 tahun lalu. – UTUSAN










