PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung video palsu ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengenai tawaran bantuan kewangan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya telah mengesan satu video berdurasi 32 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok yang didapati menyebarkan maklumat palsu dengan menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Jelasnya, video yang boleh diakses melalui akaun TikTok @datukzulkarnain77, memaparkan seolah-olah baginda memberikan ucapan berkaitan tawaran bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia dan menggesa individu yang mengalami masalah kewangan untuk menghubungi seorang individu bernama Datuk Zulkarnain.
“PDRM ingin menegaskan bahawa kandungan video terbabit adalah palsu dan dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Satu laporan polis telah diterima berkenaan video itu dan siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sehubungan dengan itu orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan kandungan video berkenaan dan tidak menghubungi individu yang dinyatakan, kerana ia merupakan cubaan penipuan.-UTUSAN.










