Pas dakwa kerajaan tertekan desakan Anwar letak jawatan

Pas dakwa kerajaan tertekan desakan Anwar letak jawatan

BAGAN SERAI, 21 Julai 2025 - Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria (kiri) menyertai Program Bermotosikal Turun Anwar peringkat Bagan Serai. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Gesaan supaya rakyat negeri ini tidak menyertai Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini menunjukkan kerajaan kini berada dalam keadaan tertekan.

Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria berkata, gesaan yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad itu memperlihatkan rasa bimbang kerajaan negeri terhadap gelombang kebangkitan rakyat yang semakin kuat.

“Kenyataan Datuk Saarani yang seolah-olah tidak menggalakkan rakyat Perak hadir pada 26 Julai ini mencerminkan kegelisahan UMNO yang kini berada dalam kerajaan.

“Ini bukti jelas bahawa UMNO sudah tidak lagi memiliki kuasa dominan dalam pentadbiran hari ini, malah hanya menjadi pak turut kepada rakan sekutunya.

“Himpunan Turun Anwar adalah gerakan aman yang bertujuan menyedarkan rakyat mengenai kegagalan kerajaan dalam mengurus isu rakyat, termasuk kos sara hidup, integriti kepemimpinan dan hala tuju negara.

“Gerakan ini bukan untuk menjatuhkan kerajaan secara serta-merta. Kita tahu ada proses, tetapi gelombang ini penting untuk menyedarkan rakyat agar menterjemahkannya dalam peti undi kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Program Bermotosikal Turun Anwar peringkat Bagan Serai di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin, di sini semalam.

Sebelum ini, Saarani menasihatkan rakyat negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan pembangkang untuk menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, penganjuran himpunan itu tidak akan membawa sebarang perubahan kepada pentadbiran negara, sebaliknya dikhuatiri boleh menjejaskan keyakinan pelabur yang akhirnya memberi kesan buruk kepada ekonomi rakyat.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol juga membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mencabar pembangkang untuk menggunakan saluran Parlimen jika benar mahu menjatuhkan kerajaan
.
“Jangan lupa, Anwar sendiri yang membuka jalan kepada gerakan jalanan sejak 1998. Beliaulah yang mengajar rakyat turun ke jalan, bukannya hanya bersandar kepada proses Parlimen.

“Kini apabila rakyat melakukan perkara sama, beliau minta semua tunggu pilihan raya. Ini sikap hipokrit,” tegasnya.

Mengenai pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan Anwar sebagai ‘Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara,’ Razman berkata, ini menunjukkan betapa seriusnya krisis keyakinan terhadap kepemimpinan negara ketika ini.

“Tun Mahathir memimpin selama lebih dua dekad. Jika beliau sendiri mengatakan sedemikian, maka itu bukan tuduhan kosong. Rakyat perlu buka mata dan bersedia membuat perubahan,” katanya.

CAPTION
RAZMAN Zakaria (kiri) menyertai Program Bermotosikal Turun Anwar peringkat Bagan Serai semalam, yang turut disertai oleh Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad (kanan). – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×