Deretan 14 kedai berusia 100 tahun musnah terbakar

Deretan 14 kedai berusia 100 tahun musnah terbakar di Simpang Bekoh

DERETAN 14 unit kedai papan berusia hampir 100 tahun di Pekan Simpang Bekoh, Jasin, Melaka musnah dalam kebakaran petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Deretan 14 buah kedai papan yang berusia hampir satu abad di Pekan Simpang Bekoh di sini, musnah dalam kejadian kebakaran petang tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, kebakaran dipercayai bermula sekitar pukul 4.57 petang selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati api sedang marak membakar sederet kedai papan melibatkan keluasan 40 kali 150 kaki persegi.

“Sebanyak 14 unit kedai terlibat dalam kebakaran ini, terdiri daripada kedai pakaian, kedai makan, kedai telefon bimbit, kedai motosikal, kedai sayuran serta beberapa unit kedai kosong.

“Kesemua premis terlibat mengalami kemusnahan sehingga 90 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Mohd. Hafidzatullah berkata, operasi pemadaman melibatkan kekuatan dua balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin dan BBP Jasin Bestari, selain bantuan tangki air dari BBP Ayer Keroh dan BBP Bukit Gambir.

“Operasi menggunakan empat aliran hos dijalankan bagi mengawal dan memadamkan api yang marak cepat, memandangkan struktur bangunan diperbuat daripada kayu lama yang mudah terbakar.

“Tekanan air yang rendah daripada pili bomba di kawasan tersebut sedikit sebanyak menyukarkan operasi awal, namun pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke premis lain,”katanya.

Tambahnya, kerja-kerja pemadaman keseluruhan (overhaul) sedang dijalankan untuk memastikan tiada sisa api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×