Penantian 20 tahun penduduk tunggu bekalan air bersih berakhir

Penantian 20 tahun penduduk tunggu bekalan air bersih berakhir

AZUHAN Fauzi (kanan) dan penduduk menunjukkan perbezaan air bersih dari pam air berteknologi hijau dengan air boring di Pulau Teluk Rejuna Tumpat, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Penantian lebih 20 tahun kira-kira 3,000 penduduk di gugusan kepulauan Tumpat di sini untuk menikmati bekalan air bersih berakhir apabila rumah pam air berteknologi hijau sumbangan Yayasan Infaq Infra Malaysia siap dibina di Pulau Teluk Renjuna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang penduduk Paudin Yu­nus, 69, berkata, sebelum ini mereka bergantung sepenuhnya kepada air sungai yang keruh untuk tujuan mencuci pakaian dan mandi sejak 20 tahun lalu terutama setiap kali gangguan belakan berlaku.

“Untuk memasak pula, penduduk terpaksa beli air tapis di kawasan dataran dengan menaiki bot. Selepas itu kami terpaksa memunggah air tersebut ke rumah secara berulang kali.

“Walaupun memenatkan dan menggunakan tenaga yang banyak, namun kami terpaksa. Alhamdulillah, dengan adanya rumah pam ini, masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih menjadi lebih mudah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah pam air berteknologi hijau yang disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Infaq Infra Malaysia, Azuhan Fauzi.

Seorang lagi penduduk, Zakaria Rafi, 54, memberitahu, dengan adanya kemudahan itu mereka tidak lagi perlu ke kawasan daratan untuk membeli air bersih jika gangguan berlaku.

“Kami boleh datang ambil setiap hari dengan motosikal, buka paip keluar air bersih. Sebelum ini perlu naik bot untuk membeli air di daratan, ke bandar untuk membasuh baju kerana air keruh ,” ujarnya.

Sementara itu, Azuhan Fauzi berkata, projek pam air bersih berteknologi hijau menggunakan sistem solar 3kW dan bateri lithium 5 kilowatt-jam (kWh) serta dilengkapi sistem penuaian air hujan 500 liter.

Katanya, pam air itu mampu membekalkan air bersih sebanyak 1,000 gelen sehari untuk 200 buah rumah penduduk.

“Sumber air diperoleh daripada air boring di Masjid Mukim Teluk Rejuna dan menggunakan tiga penapis air di pam tersebut. Selain Pulau Teluk Rejuna penduduk  kawasan sekitar turut mendapat manfaatkan ini,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN