SHAH ALAM: Seramai 90 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes melibatkan program motivasi rumah tangga, eHati yang didakwa songsang dan terpesong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu yang dipanggil itu termasuk fasilitator, peserta dan kakitangan syarikat terlibat.
“Setakat ini, siasatan kes itu masih dijalankan secara menyeluruh. Ia termasuk dakwaan berlakunya beberapa ritual yang melanggar syarak,” katanya ringkas hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan permohonan lanjutan reman terhadap enam individu termasuk pengasas eHati ditolak mahkamah kelmarin.
Perkara itu disahkan Peguam Datuk M. Reza Hassan dengan Majistret Zur Azureen Zainalkefli tidak membenarkan permohonan reman kedua yang dibuat polis.
Majistret berpendapat tiada alasan untuk diberikan tambahan reman terhadap keenam-enam suspek itu.
Pengasas eHati bersama suami dan anak perempuannya direman tiga hari bermula 16 Julai lalu bagi membantu siasatan berhubung penganjuran perogram itu.
Turut direman, tiga individu merangkumi dua peserta dan suami kepada peserta. Kesemua suspek terdiri empat wanita dan dua lelaki berusia 26 hingga 47 tahun.
Siasatan polis menumpukan tiga jenis kesalahan iaitu Seksyen 294 dan 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil. – UTUSAN










