Lintasan cari rezeki

Lintasan cari rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Setiap hari, ratusan ribu rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura khususnya melalui Tambak Johor untuk mencari rezeki. Mereka sanggup keluar awal pagi bagi mengelak kesesakan di sempadan. Tarikan utama bekerja di Singapura adalah gaji yang tinggi berbanding Malaysia.

Dengan tukaran mata wang semasa, pekerja biasa boleh memperoleh gaji sekitar RM5,000 sebulan, manakala lulusan diploma dan ijazah mendapat lebih tinggi.

JOHOR BAHRU: Dianggarkan an­tara 200,000 hingga 300,000 rakyat Malaysia berulang alik ke negara jiran, Singapura setiap hari bagi memburu gaji dalam mata wang dolar.

Situasi itu menjadikan Tam­bak Johor iaitu pintu keluar masuk utama yang menghubungkan kedua-dua negara sebagai laluan tersibuk di dunia.

Seawal pukul 4 pagi, kelihatan semakin ramai rakyat Malaysia khususnya yang tinggal di bandar raya ini menuju ke pintu sempadan untuk ‘menyeberang’.

Dua laluan darat yang digunakan ialah Bangunan Sultan Ismail (BSI) di Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Laluan Kedua (LinKedua).

Masing-masing ada tujuan tersendiri, namun majoritinya ialah golongan pekerja yang mencari rezeki di Kota Singa menggunakan bas dan menunggang motosikal.

Hingga kini, Kota Singa dianggap lubuk rezeki kerana menawarkan gaji yang jauh lebih lumayan berbanding bekerja di negara ini.

Berdasarkan tukaran mata wang semasa, $1 adalah bersamaan kira-kira RM3.30. Bayangkan seorang pekerja restoran makanan segera menerima gaji pokok sekurang-kurangnya $1,500 sebulan, apabila ditukar ke ringgit, jumlahnya mencecah RM5,000.

Angka itu kebiasaanya dite­rima oleh pekerja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala bagi lulusan diploma serta ijazah sarjana muda antara $2,000 hingga $3,000 untuk permulaan.

Tukaran mata wang yang tinggi menjadi besi berani (magnet) bagi rakyat negara ini terus mencari rezeki di Singapura, meskipun ada cabarannya.

Antara yang wajib ditempuh setiap hari adalah kesesakan di pintu sempadan sama ada ketika waktu pergi atau pulang.

Bagi mengurangkan impak kesesakan dan barisan panjang di pintu sempadan, ramai yang memilih keluar awal pagi dan pulang lewat dari tempat kerja. Ibaratnya, rumah di Johor Bahru atau bandar sekitarnya ha­nyalah tempat untuk melelapkan mata.

RAKYAT Malaysia yang bekerja di Singapura keluar awal pagi untuk beratur di BSI, Tambak Johor bagi pemeriksaan pasport. – MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

Keluarga yang ditinggalkan harus memahami dan menerima hakikat masa yang dapat diluangkan bersama lebih singkat demi dolar Singapura.

Mohammad Faiz Mohd. Fuad, 29, dari Taman Austin yang sudah tiga tahun be­kerja sebagai penyelia di sebuah syarikat di Changi berkata, dia sudah lali berdepan senario barisan panjang dan kesesakan di pusat pemeriksaan imigresen di BSI.

“Kena banyak bersabar kalau nak bekerja di Singapura, terpaksa berdepan dengan ribuan pekerja untuk memasuki Singapura. Saya naik bas untuk masuk Singapura.

“Tapi lama kelamaan sudah biasa dan tak jadi masalah untuk bekerja awal pagi atau malam,’’ katanya yang bergaji $3,000 kepada Mingguan Malaysia.

Dalam pada itu, Umar Hai­dar Mohd. Hafez, 22, yang berpendapatan $2,000 sebagai pembuat kopi berkata, banyak pembaharuan telah dilakukan di pusat pemeriksaan bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik terutamanya bagi penunggang motosikal.

“Saya keluar rumah biasanya pada pukul 6 pagi, menunggang motosikal bersama ribuan pekerja lain, bergerak pulang dari Singapura kira-kira 7 malam.

“Ramai belia terutama yang sebaya dengan saya bekerja di restoran makanan segera di Si­ngapura untuk memperoleh gaji lebih tinggi,” katanya.

BANYAK pembaharuan telah dilakukan di pusat pemeriksaan bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik terutamanya penunggang motosikal di Tambak Johor dan LinKedua.

Bagi Raja Mohammad Haziq Jaafar, 31, yang bekerja di syarikat biodiesel di Tuas, laluan KSAB dilihat lebih mesra penunggang motosikal berban­ding Tambak Johor.

Katanya, KSAB tidak begitu sesak berbanding BSI, walaupun banyak kenderaan menggunakan laluan tersebut.

“Saya akan keluar kerja pada pukul 5 pagi dari rumah di Taman Eko Flora untuk mengelak kesesakan. Biasanya saya akan menggunakan aplikasi Waze untuk pergi dan balik kerja bagi mengesan laluan mana yang sesak atau tidak.

“Saya tamat kerja pukul 8 malam dan sampai di rumah sebelum pukul 9 malam, biasanya pada waktu tersebut tidak terlalu sesak dengan penunggang motosikal,’’ kata juruteknik kanan bergaji $4,000 itu.

Seorang lagi pekerja, Raja Muhammad Hafeez Idris, 32, pula memilih menaiki pengangkutan awam kerana lebih mudah dan selesa, meskipun terpaksa berhimpit dengan ribuan orang.

Dia yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat membuat peralatan kapal terbang berkata, menggunakan bas lebih efisien kerana tambang yang murah.

“Sudah tiga tahun saya kerja di Singapura dan tidak menjadi masalah,’’ katanya.

Pegawai pemasaran yang hanya mahu dikenali sebagai Lee mendedahkan, majikan di Singapura lebih suka mengambil rakyat Malaysia berbanding pekerja dari negara lain.

Katanya, urusan mendapatkan permit kerja juga mudah dan semuanya diuruskan oleh majikan.

“Mereka mengaku cara kerja dan kualiti kerja rakyat Malaysia lebih baik. Malah, pekerja kita tak banyak masalah,” katanya yang sudah lebih lima tahun bekerja di sana.

KESESAKAN memasuki BSI, Tambak Johor terutama pada waktu puncak pergi dan pulang bekerja dari Singapura.

Bagaimanapun, tarikan magnet dolar Singapura yang sudah berakar umbi sejak sekian lama harus diimbangi supaya tenaga kerja negara tidak berterusan berhijrah atau mencari rezeki di luar.

Kerajaan harus menyediakan skim gaji lebih menarik untuk rakyat. Kerajaan Negeri Johor mengakui, gaji yang diperoleh di Singapura menjadi tarikan utama bagi rakyatnya mencari rezeki di sana.

Bagi mengekang aliran keluar tenaga, kerajaan negeri ada memperkenalkan skim gaji premium.

Bagi lulusan ijazah sarjana muda, dicadangkan diberi gaji sekurang-kurangnya RM5,000 manakala lulusan diploma pada kadar RM4,000.

Usaha itu bukan mudah kerana tidak ramai majikan yang sanggup atau berkemampuan menawarkan gaji sedemikian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×