PETALING JAYA: Ketua Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain mengakui tugas getir menantinya selepas ini apabila dijadual menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN B-23 2025 di Stadium Gelora Bung Karno, 21 Julai ini.
Malaysia memperoleh tiga mata pertama mereka selepas membelasah Brunei 7-1 kelmarin perlu menewaskan tuan rumah bagi mencerahkan peluang mereka untuk melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan.
Beraksi di depan penyokong tuan rumah pastinya memberi kesan psikologi kepada pemain negara bagaimanapun Nafuzi berkata, dia dan pasukannya tidak akan memberi laluan mudah kepada Indonesia.
“Mengenai penyokong, kita tahu penyokong Indonesia adalah begitu luar biasa. Cukup luar biasa di Indonesia dengan penyokong yang fanatik.
“Pemain-pemain saya harus bersedia dari segi mental dan juga fizikal. Apa yang penting kita bermain dengan kualiti dan walaupun ada yang memberi tekanan kepada Malaysia, saya harap pemain kita dapat menyerap tekanan itu dan beraksi seperti yang dirancangkan,” katanya.
Dalam pada itu, Nafuzi berkata, tujuan dia melakukan enam pertukaran pemain ketika menentang Brunei adalah kerana mahu merehatkan skuad utama bagi menghadapi Indonesia.
“Saya rasa ia satu keperluan untuk merehatkan pemain, ada yang cedera dan tak dapat beraksi dan ada juga kita memberi peluang dan pendedahan untuk pemain lain.
“Alhamdulillah, pemain yang diturunkan menjalankan tanggungjawab dengan baik apabila menunjukkan corak permainan terbaik di awal perlawanan,” katanya.
Malaysia kini di tangga ketiga berkongsi tiga mata dengan Filipina yang berada di tangga kedua namun dipisahkan dengan perbezaan gol. Indonesia di kedudukan teratas dengan enam mata maksimum dan Brunei di tangga tercorot tanpa mata. – UTUSAN







