PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan kenaikan pangkat dan pertukaran 23 pegawai kanannya berkuat kuasa 18 Ogos ini.
Mendahului senarai iaitu Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk TS Azizee Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang.
Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah, berkata, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Datuk Shazeli Kahar pula dilantik sebagai Ketua Polis Selangor.
Katanya, Timbalan Pengarah Risikan/ Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus pula dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.
“Timbalan Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Kedah manakala Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, Ab Rahaman Arsad dilantik sebagai Ketua Polis Johor.
“Kelima-lima pegawai kanan terbabit memangku pangkat Komisioner Polis (CP). Kesemua pelantikan berkuat kuasa 18 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN









