Perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua insan, tetapi dua hati, dua jiwa dan cara fikir yang berbeza,
Dalam melayari bahtera perkahwinan, komunikasi, kejujuran dan empati amat penting bagi menghubungkan perasaan , harapan dan impian antara suami isteri.
Apabila pasangan saling mendengar, masing-masing rasa dihargai, difahami dan dilindungi.
Tetapi apabila tiga perkara ini tiada, maka kekerasan dingin (cold violence) mula wujud.
Suami isteri jadi seperti orang asing yang tinggal sebumbung.
Keadaan ini selalunya tidak dianggap penderaan kerana tiada bukti fizikal.
Tetapi, ia membunuh perlahan-lahan harga diri, emosi, keyakinan dan kasih sayang dalam hubungan.
Minggu ini, saya kongsikan kisah Medina (bukan nama sebenar), yang menjadi mangsa kekerasan dingin si suami selama hampir 15 tahun dan akhirnya memilih untuk mengundur diri.
Dia percaya kepada kekuatan luar biasa dalam perbualan, walaupun hanya lima minit.
“Apabila suara isteri didengar, tanpa dibantah, apabila suami dilayan tanpa disindir, hubungan jadi lebih hangat.
“Tetapi, semua itu tidak berlaku sepanjang perkahwinan kami. Tinggal sebumbung, sebilik, tetapi hubungan kami dingin dan tidak pernah ada komunikasi menyenangkan,” ujarnya dalam pertemuan baru-baru ini.
Bertahun bertahan, akhirnya pada pertengahan Januari 2023, dia nekad menamatkan perkahwinan yang menyakitkan.
Menurut wanita kecil molek kelahiran utara tanah air itu, bukan kerana benci, tetapi dia sudah letih mencintai seorang diri.
“Saya mahu anak membesar dengan penuh kasih sayang seorang bapa dan ibu.
“Percayalah, kekerasan dingin memang wujud. Hanya tidak nampak dengan mata kasar, tetapi ia membunuh perlahan-lahan,” katanya.
Kata wanita berusia pertengahan 40-an itu, selepas bercerai ramai menyangka mereka bergaduh besar kerana orang ketiga.
“Sejujurnya, punca kami berpisah kerana kekerasan dingin. Diam yang berpanjangan, rasa tidak dihargai dan emosi terabai.
“Hari demi hari saya hidup dalam rumah tangga yang sunyi tanpa komunikasi,” luahnya.
Sepanjang perkahwinannya itu, bekas suami, Rizal (bukan nama sebenar), bukan sahaja tidak mendengar, tetapi tidak ambil tahu.
Segala-gala hal rumah tangga diuruskan dan diputuskan oleh Medina.
Sebagai isteri, dia mahu suami mendengar dan memahami perasaannya.
Tetapi, setiap kali dia meluahkan sesuatu, baik berkaitan kerja atau rumah tangga, bekas suami buat tidak endah.
“Pandang tempat lain, tukar topik seolah-olah perasaan saya tidak penting.
“Pada awalnya saya tidak ambil pusing, tetapi lama-kelamaan saya rasa dia memang benar-benar tidak ambil peduli,” katanya.
Medina tidak berniat untuk membuka kisah lalu.
Dia hanya berharap kisah yang pernah dilalui itu mampu menjadi peringatan kepada pasangan yang melayari bahtera perkahwinan.
“Mungkin ada isteri atau suami di luar sana tanpa sedar mereka sedang melalui kekerasan dingin dalam rumah tangga.
“Ketiadaan komunikasi sesama pasangan adalah racun senyap yang jarang diberi perhatian oleh masyarakat,’’ katanya.
Kata Medina, sepanjang perkahwinan, suami tidak pernah meninggi suara apalagi menjentiknya.
Setiap perkataan datang dengan nada tenang, tetapi penuh sindiran yang tajam.
Ramai menyangka mereka pasangan bahagia. .
Medina seorang doktor di sebuah klinik swasta di ibu negara, manakala Rizal pula pegawai bank.
Selalu tersenyum, kelihatan serasi.
Tetapi tiada siapa tahu, sebaik melangkah masuk ke rumah, mereka hidup seperti orang asing. Tiada komunikasi, tiada pelukan.
“Di rumah, saya hidup dengan seseorang yang hanya wujud secara fizikal, tetapi jiwanya entah di mana.
“Saya cuba meluah, dia diam membisu seribu bahasa. Saya tanya, bekas suami berlalu tanpa memberi jawapan. Saya menangis, tiada perasaan simpati,” ceritanya.
Medina pernah memberi peluang kepada bekas suami walaupun diselebungi rasa kecewa.
Apabila disahkan hamil, dia percaya itulah titik perubahan bekas suaminya.
“Saya bayangkan, apabila dia melihat wajah anak kami, dia akan jadi lembut hati dan lebih peduli, tetapi saya silap.
“Dia tetap sama. Dingin dan tidak peduli. Anak kami lahir tidak langsung mengetuk pintu hatinya,” ujarnya.
Sepanjang tempoh itu juga dia bukan tidak mencuba menyelamatkan rumah tangga.
Cuba menjadi isteri yang penyabar, penyayang tetapi hubungan itu tidak boleh diteruskan oleh sebelah pihak sahaja.
Pada akhirnya, Medina sedar, suami yang diharap untuk berubah, tidak pernah berniat sedemikian.
Daripada situ, Medina mengumpul kekuatan sedikit demi sedikit. Dia menyertai kumpulan sokongan dan mengambil keputusan untuk menamatkan penderitaan yang tidak tertanggung sejak sekian lama.
Mengakhiri perbualan lewat petang itu Medina sempat menitip pesan kepada pasangan di luar sana agar tidak terus membiarkan kedinginan merosakkan rumah tangga.
“Jangan anggap ia perkara kecil. Apabila pasangan tidak mendengar, peduli dan berdiam sahaja, itu bukan normal.
“Itulah salah satu tanda bentuk penderaan emosi yang perlahan-lahan memusnahkan diri kita sendiri,” ujarnya.
Dia telah mencuba berkali-kali dan sampai masa perlu ditamatkan .
Isteri layak dicintai, difahami dan didengari, bukan dilayan seperti tunggul.
Hakikatnya, isu ini bukan hanya dihadapi isteri, tetapi juga suami.
Diam yang menyakitkan, tiada komunikasi dan kurangnya empati bukanlah sesuatu hubungan yang sihat.
Memilih untuk mencari jalan keluar dengan mengundur diri bukan bermakna gagal, tetapi berusaha menyelamatkan diri daripada perkahwinan toksik.
Perceraian bukanlah keputusan mudah, apatah lagi ia adalah perkara halal yang paling dibenci Allah SWT.
Namun, dalam keadaan tertentu, ia boleh menjadi jalan terakhir jika semua usaha memulihkan perkahwinan gagal.
Daripada Umar RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” (Riwayat Abu Daud 2178 dan Ibn Majah 2018).-UTUSAN









