Kelulusan projek MRT3 pacu kesan pengganda ekonomi

Kelulusan projek MRT3 pacu kesan pengganda ekonomi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelulusan Skim Rel Akhir bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) secara asasnya membuka laluan kepada kesinambungan pelaksanaan projek mega itu, sekali gus memberi rangsangan langsung kepada pelbagai sektor ekonomi. 

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, dengan kelulusan tersebut, pelaksanaan pakej-pakej pembinaan dijangka disalurkan kepada pelbagai subkontraktor termasuk syarikat bumiputera dan bukan bumiputera.

“Ini seterusnya akan merancakkan aktiviti dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

“Kesan pengganda dapat dilihat secara ketara sepanjang tempoh pembinaan apabila kepakaran profesional seperti jurutera, arkitek, juruukur bahan, peguam serta sektor kewangan turut terlibat secara langsung dalam rantaian nilai projek tersebut.

“Selepas siap sepenuhnya, limpahan ekonomi akan mula dirasai dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman (F&B), pengangkutan, media serta hartanah berikutan peningkatan aliran pengguna yang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT),” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Kelmarin, Skim Rel Akhir bagi Laluan Lingkaran MRT3 telah diluluskan secara rasmi dan ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) berkata, kelulusan itu menyusuli langkah pemeriksaan awam yang dilaksanakan pada 2 September hingga 2 Disember 2024 yang telah menerima lebih 45,000 maklum balas bertulis

Mohd. Afzanizam berkata, dari sudut fiskal, langkah konsolidasi kewangan yang dilaksanakan kerajaan sejak beberapa tahun lalu telah memberi ruang fiskal mencukupi untuk menampung perbelanjaan pembangunan.

“Sebahagian besar peruntukan pembangunan telah digerakkan ke arah projek infrastruktur berskala besar seperti MRT3, yang berupaya mencetuskan kesan pengganda positif ke atas ekonomi domestik secara menyeluruh,” katanya. 

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kelulusan itu turut disifatkan sebagai langkah strategik memperkukuh usaha kerajaan dalam menyempurnakan sistem pengangkutan awam bersepadu di Lembah Klang.

“Ia turut berpotensi meningkatkan produktiviti ekonomi menerusi mobiliti yang lebih lancar di kawasan metropolitan. 

“Ini sekali gus menarik minat pelabur asing yang melihat kemudahan infrastruktur sebagai antara indikator utama daya saing sesebuah negara,” katanya. 

Beliau berkata, projek MRT3 dianggarkan menelan belanja sekitar RM45 bilion, menjadikannya antara projek infrastruktur terbesar negara. 

Bagaimanapun, Abu Sofian berkata, dalam konteks tekanan fiskal semasa, beberapa pendekatan strategik perlu dipertimbangkan. 

“Perkara strategik perlu dipertimbangkan seperti pendekatan pembiayaan campuran, model pemajakan aset, memberi fokus kepada nilai perolehan semula dan pelaksanaan secara berfasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×