GUA MUSANG: Selepas empat bulan bergadai nyawa meredah arus sungai deras dan melalui jambatan sementara, penduduk Orang Asli di Pos Balar di sini menarik nafas lega apabila pembinaan jambatan kekal masuk ke penempatan itu sudah bermula.
Ia susulan pendedahan Utusan Malaysia yang melaporkan kepayahan anak Orang Asli di Pos Balar menuntut ilmu. Kejadian kepala air kerap berlaku hingga merosakkan jambatan yang menghubungkan kampung dengan sekolah.
Jambatan utama menghubungkan kampung mereka runtuh sejak 9 Mac lalu, menjadikan laluan ke sekolah bukan sekadar sukar, malah sangat berbahaya.
Penghulu Pos Balar, Osman Anjang berkata, kerja-kerja pembersihan tapak pembinaan jambatan itu dilakukan oleh kontraktor yang dilantik sejak 7 Julai lalu.
“Pihak kontraktor sudah memulakan kerja-kerja pembinaan dan saya mewakili penduduk berharap kemudahan ini dapat disiapkan mengikut jadual.
“Pembinaan jambatan ini penting kerana merupakan nadi kehidupan penduduk termasuk anak-anak untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Balar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Kelantan dan Terengganu berkata, pembinaan itu mengambil masa antara lapan hingga 12 minggu untuk disiapkan.
Katanya, kontraktor yang dilantik sudah membawa masuk jentera dan barangan untuk kerja-kerja pembinaan tersebut.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, JKOA akan menyegerakan pembinaan jambatan di Pos Balar bernilai RM400,000 bagi menggantikan kemudahan itu yang runtuh dihanyutkan arus deras pada 9 Mac lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sapiah Mohd. Nor berkata, faktor lokasi dan bentuk muka bumi serta cuaca diambil kira dalam proses pembinaan kemudahan itu nanti. – UTUSAN










