PENDANG: Kegiatan Geng Dika Bayu yang aktif mencuri kabel di pencawang milik beberapa syarikat telekomunikasi sekitar daerah ini sejak tujuh bulan lalu berakhir selepas tujuh lelaki diberkas Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejayaan itu diperoleh hasil aduan seorang juruteknik syarikat telekomunikasi itu selepas terserempak dua lelaki mencurigakan di dalam kawasan pencawang di Kampung Bukit Jambul, di sini.
“Juruteknik itu memaklumkan dia sedang memeriksa pencawang itu pada pukul 4.05 petang dan sebaik menyedari kehadirannya dua lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Aruz itu beredar.
“Bertindak atas maklumat itu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Pendang membuat pemeriksaan dan menemui kereta itu di parkir di bawah pencawang Pokok Tai manakala tiga lelaki sedang memanjat dan memotong kabel di situ,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut Rodzi, pihaknya kemudian berjaya menahan lelaki terbabit dan hasil siasatan lanjut telah membawa tangkapan seorang lagi lelaki di sebuah inap desa di Taman Sinar Intan di Sungai Petani.
“Pemeriksaan menemui sejumlah kabel dipercayai dicuri dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel. Siasatan lanjut mendapati geng ini memakai vest dan topi syarikat utiliti ketika melakukan kegiatan untuk mengaburi orang ramai ketika berada di pencawang,” katanya.
Katanya, susulan tangkapan itu pihaknya kemudian berjaya menahan tiga lagi lelaki termasuk seorang peniaga berumur 28 tahun yang disyaki membeli logam kabel daripada kumpulan terbabit.
“Hasil pengakuan kesemua lelaki yang berumur awal 20-an itu mereka menyewa sebuah inap desa di Sungai Petani dan sebuah kereta ketika memecah masuk dan mencuri kabel di mana-mana pencawang yang telah dikenal pasti.
“Dengan tertangkapnya tujuh ahli kumpulan ini yang turut positif dadah jenis Menthaphetamin dan mempunyai pelbagai rekod jenayah, kita berjaya menyelesaikan 29 kes kecurian kabel pencawang di daerah Pendang, Kuala Muda, Yan dan Sik,” katanya.
Menurut Radzi, kesemua suspek kini direman sehingga 19 Julai untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










