Jangan terpedaya isu Hamas – Fatah - Utusan Malaysia

Jangan terpedaya isu Hamas – Fatah

WALID ABU ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Umat Islam negara ini diingatkan agar tidak terpedaya dengan label Fatah atau Hamas yang sengaja dijadikan polemik sehingga menjejaskan sokongan mereka terhadap rakyat Palestin.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, ini kerana hal itu adalah masalah dalaman Palestin sedangkan dalang sebenar dalam isu tersebut adalah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Apa yang lebih penting, katanya, umat Islam perlu fokus kepada usaha untuk membantu Palestin mencapai kebebasan daripada Israel dan mengembalikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Beliau berkata, pokok utama isu ini adalah mereka tidak dibenarkan mengadakan pilihan raya bagi memilih pemimpin Palestin kerana syarat yang ditetapkan melarang penduduk Baitulmaqdis Timur mengundi.

“Kalau kami dibenarkan mengadakan pilihan raya de­ngan penglibatan semua rak­yat, barulah kami dapat memilih pemimpin kami. Tidak kiralah siapa yang jadi pilihan rakyat ketika itu,. Jika Hamas, Hamas­lah. Jika Fatah. Fatahlah.

“Ia sama seperti orang Kedah, Melaka dan Selangor. Semuanya orang Malaysia bagi kami. Dan kami hormati hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia bagi mengulas isu yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak tentang perpecahan antara Hamas dan Fatah.

Pihak Fatah yang diketuai oleh Mahmoud Abbas menge­tuai pentadbiran Tebing Barat manakala Hamas yang dike­tuai oleh Ismail Haniyeh me­nguasai Gaza.

Dalam Pilihan Raya Parlimen yang diadakan pada 2006, pergerakan Islam, Hamas berjaya memperoleh kemenangan besar sekali gus menamatkan dominasi parti Fatah yang pernah mempu­nyai pemimpin terkenal seperti Allahyarham Yasser Arafat.

Presiden Palestin kini ialah Mahmoud Abbas yang memenangi Pilihan Raya Presiden pada tahun 2005 sekali gus mengetuai Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sejak kematian Arafat pada tahun 2004.

Permusuhan antara kedua-dua parti dikatakan berpunca daripada bantahan kedua-dua pihak berhubung Israel apabila Hamas menolak kewujudan negara Yahudi itu tetapi Fatah menyokong sebuah negara Palestin ditubuhkan bersama dengan Israel.

Walid berkata, janji bekas Presiden AS, Donald Trump pada September 2016 dalam pertemuan bersama Ne­tanyahu untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel tanpa dikongsi dengan sesiapapun sekiranya dipi­lih Presiden Amerika Syarikat (AS) adalah antara punca isu pertikaian Hamas-Fatah berlarutan.

Selain itu, katanya, Netan­yahu yang dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi tiga kali gagal membentuk kerajaan akan cuba mempertahankan jawatan itu bagi mengelak hukuman penjara terhadap tuduhan ke rasuahnya.

“Ketiga, Netanyahu juga adalah orang yang bertanggungjawab dalam perluasan penempatan haram Yahudi di Baitulmaqdis selain me­ngarahkan serangan ke atas umat Islam di Masjid Aqsa pada malam 27 Ramadan lalu,” tegasnya.

Sejak 1949, pihak berkuasa Israel telah melakukan pe­ngusiran secara paksa ke atas komuniti terbabit dan turut merobohkan struktur kediaman mereka yang didakwa dibina tanpa permit sah di bawah polisi yang merampas tanah penduduk Palestin.

Kira-kira 600,000 pendatang Yahudi tinggal di lebih 230 kawasan penempatan haram yang dibina sejak pendudukan ke atas tanah penduduk Palestin pada 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×