MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan dan bengkak pada telinga kiri yang dipercayai dilakukan pengasuh taska di Taman Melayu, Padang Temu, di sini semalam.
Lebih mengejutkan, insiden itu berlaku di premis yang sama terlibat dalam kes kematian seorang bayi lelaki enam bulan, dipercayai lemas dalam keadaan tertiarap dan dibedung di atas tilam.
Ibu mangsa, Nurul Shafiqa Dawood, 33, berkata, kejadian disedari ketika dia mengambil anaknya, Faiqah Dalila Faris Danial, dari taska berkenaan pada pukul 5.30 petang.
“Anak saya mengadu telinga kirinya sakit kerana ditepuk cikgu di taska dan sepanjang malam dia menangis tanpa henti sebab kesakitan.
“Saya terus bawa dia ke klinik pada pukul 11 malam. Doktor sahkan ada kesan luka dan bengkak di telinga kiri, kemudian kami ke Hospital Melaka dan seterusnya buat laporan polis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, ini bukan kali pertama anak sulungnya mengalami kecederaan ketika dihantar ke taska tersebut.
“Bulan Februari lalu, anak pernah mengadu sakit semasa buang air kecil dan bila diperiksa, kemaluannya kemerahan. Anak beritahu dia dipukul dan dicucuk dengan rotan oleh pengasuh, tapi masa itu saya tak buat laporan sebab tak nak panjangkan hal tersebut,” luahnya dengan nada kesal.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kes tersebut
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan terhadap kanak-kanak. – UTUSAN










