PETALING JAYA: Pengendali skuad Bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain memberi jaminan untuk segera memperbaiki kekurangan pasukan menjelang aksi berdepan Brunei dalam perlawanan kedua Kumpulan A, Piala ASEAN B-23.
Kekalahan mengejut 0-2 kepada Filipina dalam aksi pertama kelmarin meletakkan skuad kendalian Nafuzi Zain dalam bahaya untuk tersingkir awal kerana hanya juara kumpulan dan naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir.
Nafuzi berkata, kekalahan berkenaan memberi pengajaran besar buat para pemain selepas gagal memanfaatkan deretan peluang di depan gawang lawan meskipun menguasai sebahagian besar permainan.
“Kita bermain dengan baik, banyak mencipta peluang, tetapi kita tidak dapat jaringkan gol. Itu kelemahan paling ketara. Filipina ambil peluang yang mereka ada, dan itu bezanya, mereka menang, kita tidak.
“Kita tidak boleh terus kecewa. Kita kena baiki apa yang kurang, terutama di bahagian pertahanan dan penyudah. Perlawanan menentang Brunei sangat penting, dan kita akan buat apa saja untuk menang,” kata Nafuzi.
Dalam aksi kelmarin, Otu Bisong menjadi wira Filipina apabila meledak dua jaringan pada separuh masa pertama untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik negaranya.
Nafuzi tidak menyalahkan para pemain atas kekalahan berkenaan memandangkan sebahagian besar daripada mereka masih muda dan sedang mengumpul pengalaman di pentas antarabangsa
Mengulas mengenai status kecederaan dua tonggak, Alif Izzuan dan Muhammad Haqimi Azim Rosli, Nafuzi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan terperinci daripada pasukan perubatan.
Bekas jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC itu turut berharap penyokong Malaysia dapat hadir memberi sokongan sekiranya pasukan mara ke pusingan seterusnya, terutama jika bertemu tuan rumah, Indonesia.
Malaysia akan turun menentang Brunei pada aksi kedua, esok sebelum menamatkan peringkat kumpulan menentang tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai.
Sebagai rekod, Malaysia masih belum pernah menjuarai Piala ASEAN B-23 sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2005, dengan pencapaian terbaik adalah tempat keempat pada edisi sulung dan juga pada tahun 2023. – UTUSAN








