‘Biar kami habiskan stok sedia ada’

‘Biar kami habiskan stok sedia ada’

Kerajaan digesa mengadakan libat urus dengan pemain industri rokok elektronik atau vape bagi merangka penyelesaian praktikal dan berkesan .-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengusaha jualan vape di Perlis merayu agar kerajaan negeri mempertimbangkan lanjutan tempoh penguatkuasaan larangan penjualan rokok elektronik itu sehingga hujung tahun ini bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Seorang pekerja kedai vape di Jalan Raja Syed Alwi, Asyraf Mizwar, 28, berkata, sejak pe­ngumuman larangan itu pada Mei lalu, jualan vape menurun mendadak sehingga 60 peratus.

“Sejak pengumuman lara­ngan bermula 1 Ogos, kami hadapi kesukaran menjual stok sedia ada. Kami harap kerajaan negeri dapat melanjutkan tempoh ini sekurang-kurang­nya hingga hujung tahun bagi mengelakkan kerugian besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Pada 14 Mei lalu, Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli memaklumkan bahawa penjualan vape akan diharamkan bermula 1 Ogos berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengenai rokok elektronik pada 2022.

Dalam tempoh enam bulan lalu, dua insiden melibatkan pelajar sekolah akibat vape telah dilaporkan. Pada November tahun lalu, seorang pelajar tingkatan dua cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolah dipercayai akibat khayal selepas menghisap vape manakala pada April lalu, seorang pelajar tingkatan tiga diserang sawan selepas menghisap vape di tandas sekolah.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha vape, Shahir, 32, berkata, penguatkuasaan lara­ngan perlu lebih ketat terhadap penjualan dalam talian, bukan hanya menyasarkan kedai fizikal.

“Kami di kedai patuh kepada peraturan sedia ada. Namun penjualan dalam talian tidak dipantau sepenuhnya malah ada yang menjual produk me­ngandungi bahan terlarang,” katanya.

Shahir berkata, kedainya te­lah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan masih belum bersedia bertukar bidang perniagaan kerana fokus ketika ini adalah untuk menghabiskan stok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×