SHAH ALAM: Polis mengesan e-mel terakhir dihantar David Balisong kepada ibunya pada 9 Julai lalu yang meminta supaya tidak mencuba untuk mencarinya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, emel yang dihantar remaja berusia 17 tahun itu kira-kira seminggu lalu merupakan komunikasi terakhir dia dengan keluarga sebelum gagal dihubungi.
“Antara kandungan e-mel itu adalah ‘jangan bimbang, jangan cuba mencari saya. Saya mendoakan kesemua ahli keluarga supaya berjaya dalam kehidupan. Mohon maaf kerana melakukan perkara ini’.
“Namun, (dalam e-mel itu) tidak dinyatakan bila akan pulang ke pangkuan keluarga, polis masih menjalankan usaha mencari individu tersebut. Kali terakhir dia dilihat berada di Kuala Lumpur (KL) Sentral menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 7 Jun lalu kira-kira pukul 10.09 pagi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesahkan seorang remaja lelaki warga Britain yang dilaporkan hilang di negara asalnya, masuk ke Malaysia pada 7 Jun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semakan mendapati remaja tersebut, David Balisong, 17, masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.29 pagi, hari terbabit.
Malah, Balisong dipercayai masih berada di dalam negara ini apabila tiada rekod di mana-mana pintu masuk menunjukkan dia keluar meninggalkan Malaysia.
Tambah Hussein, polis merekodkan keterangan enam individu termasuk ibu mangsa bagi mengesan jejak Balisong.
“Lain-lain saksi adalah pemandu bas, pekerja pengurup wang, petugas kaunter bas, pengadu dan juga anggota polis bertugas.
“Polis juga memerhatikan dan menyiasat rakaman CCTV bagi membantu siasatan dan kali terakhir dikesan berada di KL Sentral (pada tarikh dan waktu tersebut),” ujarnya. – UTUSAN










