Siapa Nick Adams yang bakal jadi duta AS ke Malaysia?

Siapa sebenarnya Nick Adams yang bakal jadi duta AS ke Malaysia?

NICK ADAMS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siapa sebenarnya Nick Adams sehingga pencalonan beliau sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia mendapat tentangan banyak pihak di negara ini.

Pencalonan beliau turut menimbulkan perdebatan da­­lam talian selepas ramai mem­persoalkan motif di sebalik pelantikan tersebut memandangkan personaliti dan kenyataan-kenyataan melampaunya yang disifatkan sebagai islamofobik, seksis dan misoginis, hingga sering mencetuskan kontroversi.

Berdasarkan carian Utusan Malaysia, Adams, 40, merupakan warganegara Australia-Amerika yang lantang bersuara di media sosial. Beliau berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) pada 2012 dan memperoleh kewarganegaraan negara itu pada tahun 2021.

Namanya mula meraih perhatian pada tahun 2016 selepas Presiden AS, Donald Trump memuji bukunya Green Card Warrior sebagai ‘salah satu naskhah wajib dibaca’.

Sejak itu, Adams membina pengaruh besar di platform X (dahulu Twitter) dengan lebih 600,000 pengikut, di mana beliau sering berkongsi kandungan yang mempromosikan fahaman ‘lelaki alpha’ dan retorik konservatif.

Pelantikannya diumumkan sendiri oleh Trump menerusi platform Truth Social, di mana beliau menyifatkan Adams sebagai ‘seorang nasionalis luar biasa dan usahawan yang sangat berjaya’, serta memuji komitmennya terhadap apa yang digelar sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’.

Calon berusia 40 tahun itu dikenali dalam media sosial sebagai figura yang mempromosikan ‘maskuliniti toksik’ dan sering mengeluarkan kenyataan berbaur Islamofobia serta menyokong kuat gerakan Zionis.

Sekiranya mendapat kelulusan Senat, beliau akan menggantikan Edgard Kagan sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.

Sementara itu, 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan menolak pencalonan Adams yang disifatkan pro-Israel selain rekod kenyataan ekstremis yang boleh menjejaskan reputasi negara serta keharmonian rakyat pelbagai kaum.

Dalam kenyataan bersama, NGO terbabit berkata, kenyataan-kenyataan Adams sebelum ini bukan sahaja bersifat misoginis, bahkan bertentangan prinsip hormat-menghormati dan nilai diplomasi yang diamalkan Malaysia.

NGO terbabit termasuk BDS Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Viva Palestina Malaysia, Muslim Care Malaysia, Global Peace Mission, MyCARE, Ikram, MAPIM dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

Mereka turut mengingatkan kerajaan, berdasarkan Artikel 4 Konvensyen Geneva, negara pe­nerima berhak menolak sebarang calon duta asing yang dianggap tidak sesuai atau boleh menjejaskan kepentingan nasional.

“Beliau pernah bermegah apabila menyebabkan seorang wa­nita pekerja kedai diberhentikan hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’ pada bajunya.

“Malah, Adams juga secara terbuka mengangkat imej ‘lelaki alfa’ yang suka mengunjungi restoran dengan pekerja berpakaian menjolok mata, sekali gus mencerminkan sikap seksis dan menjijikkan.

“Malaysia berhak menggunakan kedaulatan sepenuhnya dalam mempertahankan prinsip dan dasar luar negara yang bebas dan beretika. Justeru, kami mendesak agar kerajaan tidak menerima pencalonan individu yang jelas membawa ideologi ekstrem dan retorik pemecah-belah,” katanya.

NGO terbabit turut meminta agar kerajaan hanya menerima calon diplomat yang memiliki profesionalisme, sensitiviti budaya dan komitmen untuk memelihara hubungan antarabangsa yang kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×