Tamatkan sistem kontrak, lantik doktor secara tetap

Tamatkan sistem kontrak, lantik doktor secara tetap

LEE BOON CHYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lantikan tetap dan pemberian emolumen lebih kompetitif antara langkah pa­ling berkesan untuk ‘mengikat’ lepasan perubatan tempatan serta menangani isu penghijrahan tenaga kerja kesihatan ke luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, kerajaan juga perlu memastikan sebaik sahaja para doktor menamatkan latihan sebagai doktor pelatih (houseman), mereka diberikan peluang melanjutkan latihan kepakaran, sama ada dalam bidang khusus atau sebagai pegawai perubatan keluarga.

“Mereka juga harus diberi lantikan tetap supaya masa depan mereka dalam Kementerian Kesihatan (KKM) lebih terjamin, bukannya melalui lantikan kontrak selama dua tahun yang disambung dari semasa ke semasa.

“Saya berpendapat bahawa langkah paling munasabah dan berkesan adalah dengan menyediakan laluan kerjaya yang jelas kepada pegawai perubatan.

“Ini bermakna, sebaik sahaja tamat latihan housemanship, mereka wajar diberikan ruang untuk maju dalam kerjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, sebuah agensi penca­rian bakat dari Singapura dipercayai sedang giat ‘memburu’ doktor dan jururawat berkelayakan serta berpengalaman dari Malaysia untuk berkhidmat di republik itu dengan tawaran gaji dan elaun yang jauh lebih tinggi.

Agensi tersebut dijangka me­ngadakan sesi temu duga terbuka di sebuah hotel di ibu negara bulan depan, dengan iklan menawarkan pakej tahunan sehingga RM365,106, termasuk kemudahan perumahan dan pelbagai faedah lain.

Susulan perkembangan itu, terdapat cadangan agar kerajaan mengenakan syarat atau peraturan baharu untuk mengikat graduan perubatan tempatan, terutama yang menerima tajaan biasiswa kerajaan seperti daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), bagi memastikan mereka berkhidmat di sektor kesihatan awam dalam negara.

Boon Chye berkata, pendekatan tersebut mungkin kurang berkesan jika tidak disusuli de­ngan jaminan kerjaya yang kukuh serta ganjaran yang setimpal.

Katanya, insentif seperti jaminan lantikan tetap, laluan kepakaran yang terancang serta imbuhan kompetitif adalah elemen paling kritikal dalam memastikan graduan perubatan kekal berkhidmat di tanah air.

“Apabila seseorang graduan menerima tajaan daripada agensi seperti Mara atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mereka tertakluk kepada syarat kontrak.

“Jika memilih meletakkan jawatan sebelum tempoh tersebut tamat, mereka akan dikenakan penalti seperti yang termaktub dalam kontrak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini