Wong Chen hadir pertemuan PM bersama Ahli Parlimen PH

Wong Chen hadir pertemuan PM bersama Ahli Parlimen PH

WONG CHEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengesahkan kehadirannya dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada petang ini.

Pertemuan tersebut difahamkan bagi mendapatkan penjelasan tentang beberapa isu termasuk jangkaan mengenai kesahihan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Ya,” katanya ringkas menerusi WhatsApp kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Wong Chen antara Ahli Parlimen yang bersama dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menganjurkan sebuah forum terbuka berjudul integriti Kehakiman bagi membincangkan pelbagai dakwaan membabitkan proses pelantikan dalam industri kehakiman negara.

Minggu lalu, Wong Chen antara sembilan ahli Parlimen PKR yang lantang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara.

Sebaliknya pada hari ini, Perdana Menteri dijadualkan berjumpa dengan semua Ahli Parlimen PKR dan PH bagi memberi penjelasan kepada mereka mengenai isu-isu berkaitan.

Sebelum ini, perkara yang sama turut dilakukan Anwar dengan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN pada 11 Julai lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim berkata, PKR perlu mencari jalan terbaik untuk menyatukan kembali ahli parti setelah dilihat beberapa ahli parlimen membuat gerakan sendiri mengenai proses pelantikan Ketua Hakim Negara. 

Katanya, kekuatan dalaman parti perlu kembali diperkukuh bagi menjamin keutuhan pembentukan kerajaan Madani pimpinan Anwar. 

“Tindakan disiplin bukanlah jalan penyelesaian.Yang diutamakan bukan menghukum ahli parlimen yang bersuara tetapi memberi penjelasan yang sejelasnya dan jujur berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan dalam soal perlantikan hakim-hakim terutamanya jawatan Ketua Hakim Negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×