Penyenaraian IPO tingkat profil syarikat masa hadapan

Penyenaraian IPO tingkat profil syarikat masa hadapan

ECO-SHOP melihat penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia memberi syarikat akses kepada pasaran modal untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUNCIT nilai mampu milik, Eco-Shop melihat penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia memberi syarikat akses kepada pasaran modal untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang.

Malah, melalui IPO ini, pihaknya telah meraih dana sejumlah RM392 juta untuk pengembangan masa hadapan. 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata, penyenaraian itu meningkatkan profil syarikat, memperkukuhkan kredibiliti dan membina kepercayaan dalam kalangan pelanggan, pembekal serta rakan perniagaan. 

“Penyenaraian ini turut menyediakan satu saluran tambahan untuk pengumpulan dana pada masa hadapan bagi menyokong pengembangan berterusan.

“Sebagai sebuah syarikat tersenarai, status ini dapat meningkatkan tahap ketelusan dan memastikan amalan tadbir urus yang lebih tinggi, sejajar dengan jangkaan pihak kepentingan dan sekali gus menyokong pertumbuhan mampan syarikat untuk jangka masa panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Menurut Jessica, penyenaraian IPO turut menandakan satu pencapaian penting bagi Eco-Shop dan perniagaan yang telah berkembang kukuh sepanjang 20 tahun operasi syarikat. 

“Kami akan terus mematuhi amalan terbaik serta standard tadbir urus korporat yang tinggi, memandangkan Bursa Malaysia adalah sebuah bursa bertaraf dunia. 

“Kami percaya langkah ini akan memupuk budaya penambahbaikan berterusan kualiti dan kemampanan dalam perniagaan kami,” katanya. 

Jessica memaklumkan, pihaknya menjangkakan pertumbuhan mampan melalui peluasan rangkaian kedai, penambahbaikan kecekapan rantaian bekalan serta penawaran nilai tambah yang lebih tinggi kepada pelanggan. 

“Fokus utama kami adalah untuk mencapai pertumbuhan jangka panjang sambil mengekalkan komitmen kepada nilai teras kami iaitu untuk memudahkan kehidupan seharian pelanggan kami,” katanya. 

 Selain itu, strategi utama syarikat termasuk membuka sekurang-kurangnya 70 kedai baharu setiap tahun selama lima tahun akan datang di lokasi-lokasi strategik. 

“Kami juga akan melabur dalam teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi serta menambah baik penawaran produk berdasarkan kehendak pelanggan. 

“Selain itu, kami akan terus memperkukuh keupayaan logistik dan pergudangan untuk menyokong pengembangan ini,” katanya. 

Eco-Shop telah meraih dana sejumlah RM392 juta daripada IPO untuk tujuan pengembangan perniagaan dan pembayaran semula pinjaman bank. 

Sebahagian besar dana yang diperoleh daripada penyenaraian digunakan untuk membiayai pembukaan kedai baharu, pembangunan pusat pengedaran baharu, menaik taraf sistem teknologi maklumat  (IT), serta sebagai modal kerja bagi menyokong operasi harian syarikat.

Sementara itu, Pengarah Urusan ASM Automation Group Berhad, Chan Kok Heng berkata, pihaknya melihat penyenaraian di Pasaran ACE meletakkan ASM pada kedudukan yang lebih kukuh untuk pertumbuhan yang mampan.

“Ia memberikan pengiktirafan bahawa kami merupakan sebuah syarikat yang telus, diurus secara profesional dan berada dalam kedudukan lyang kukuh. 

“Penyenaraian ini turut menjadikan ASM lebih menarik kepada bakat-bakat terbaik dan pelanggan korporat terutamanya syarikat multinasional yang lazimnya mempunyai kriteria pemilihan vendor yang ketat seperti pematuhan ISO, kebolehpercayaan teknikal dan keupayaan operasi jangka panjang,” katanya. 

Kok Heng menjangkakan ASM akan terus menerajui penyelesaian automasi dalam industri makanan dan minuman (F&B), sambil memperluaskan keupayaan kumpulan ke dalam bidang lain.

“Keupayaan kami untuk membangunkan penyelesaian yang disesuaikan sepenuhnya mengikut keperluan khusus pelanggan kekal sebagai faktor pembeza utama syarikat. Kami juga merancang untuk memperkukuh kehadiran kami di pasaran serantau, khususnya di Indonesia dan Filipina,” katanya. 

Jelasnya, pasca penyenaraian, strategi pertumbuhan ASM kekal berteraskan kepakaran utama ASM iaitu dalam penyediaan penyelesaian mesin automasi yang disesuaikan, khususnya untuk industri makanan dan minuman. 

“Antara pelan terdekat kami adalah untuk memperoleh sebidang tanah baharu seluas kira-kira 70,000 kaki persegi yang terletak berhampiran kemudahan sedia ada kami di Lahat, Perak. Langkah ini akan membantu kami mengatasi kekangan ruang sedia ada,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×