PETALING JAYA: Seramai 82,637 petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) bakal menikmati pengecualian daripada pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu seperti yang diperkenalkan menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Pengecualian tersebut membabitkan lima skim perkhidmatan kritikal melibatkan jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hakikat tugas-tugas kritikal yang memerlukan petugas kesihatan untuk kekal bersiap siaga secara fizikal, mental dan emosi demi menyelamatkan nyawa tanpa mengira masa.
Katanya, keputusan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus mendengar suara dan memperjuangkan kebajikan petugas barisan hadapan yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan negara.
“Kerajaan prihatin terhadap kebimbangan yang disuarakan petugas kesihatan berhubung pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu.
“Setelah meneliti keperluan operasi dan beban kerja yang dihadapi mereka, kerajaan bersetuju memberi pengecualian kepada lima skim perkhidmatan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Langkah tersebut juga selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai ihsan dan kebajikan dalam menjaga kesejahteraan rakyat serta penjawat awam. – UTUSAN










