Buntu anak buat perangai

Buntu anak buat perangai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Anak lelaki saya berusia 13 tahun. Sukar kawal diri, kerap buat masalah walaupun dah banyak kali ditegur. Pernah terlibat kes buli di sekolah dan kini mula mencuri, termasuk duit ayahnya sendiri. Saya benar-benar buntu. Patutkah saya hantar anak ke sekolah pemulihan akhlak?

Ibu buntu

JAWAPAN

Memiliki anak adalah anugerah, namun mendidik mereka kini menjadi cabaran besar kepada ibu bapa. Walaupun dibesarkan dengan didikan yang baik, pengaruh luar boleh mengubah tingkah laku anak.
Dalam kebuntuan mencari jalan keluar, timbul persoalan: wajarkah sekolah pemulihan akhlak menjadi pilihan? Mari kita pertimbangkan.

Kenali punca – Ada remaja bertindak sedemikian kerana kemarahan yang tidak terluah, sama ada dari sekolah, pengaruh rakan atau perubahan hormon. Ibu ayah usaha untuk luangkan masa berbual-bual dengan anak. Kadangkala, di sebalik sikap memberontak, terdapat kesunyian atau kekecewaan hati.

Buka ruang komunikasi – Usaha untuk mewujudkan ruang komunikasi yang selamat dengan menjadi pendengar yang baik. Apabila anak rasa selamat untuk bercerita, lebih mudah kita bantu secara perlahan-lahan. Elakkan daripada terus menghukum atau memarahinya.

Tetapkan peraturan – Anak perlukan sempadan. Kalau dia mencuri, minta anak untuk pulangkan semula dan buat kerja rumah sebagai tanggungjawab. Tetapi dalam masa yang sama, beri pujian apabila dia buat sesuatu yang baik. Biar dia tahu, setiap tindakan ada kesan.

Bantuan Pakar – Kadang-kadang, ibu bapa tidak mampu hadapi semuanya sendiri. Boleh jumpa kaunselor untuk membantu membuat penilaian dan memberi strategi khusus untuk menangani isu ini.

Galakkan positif – Libatkan anak dengan aktiviti sukan, kelas seni, kelas kemahiran atau kerja sukarela. Beri peluang untuk anak menyalurkan tenaga dan emosi dengan cara yang lebih sihat dan bermakna.

Pertimbangkan sekolah pemulihan akhlak – Sekolah ini lebih sesuai untuk kes disiplin yang serius, tetapi bukan untuk semua anak. Ada yang makin baik, tapi ada juga yang semakin tertekan. Berbincang dengan kaunselor sebelum membuat keputusan.

Berdoa dan Tawakal – Usaha dalaman sangat penting, tapi jangan abaikan usaha rohani juga. Ajak anak solat, berdoa dan baca buku agama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×