Jual durian serendah RM5 sekilogram di Teluk Intan

Jual durian serendah RM5 sekilogram di Teluk Intan

ZULKIFLI Fauzi menunjukkan tempoyak dan durian yang dijual di gerainya di Kampung Banjar, Teluk Intan, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Musim durian yang berlaku serentak di beberapa daerah di Perak membawa kepada lambakan raja buah itu, sekali gus menyebabkan harga jualan kini serendah RM5 sekilogram.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara kawasan terlibat ialah Gopeng, Kampar, Kampung Gajah, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Batu Kurau.

Peniaga, Zulkifli Fauzi, 56, berkata, jumlah durian untuk dijual meningkat daripada sekitar dua tan sehari kepada lebih tiga tan.

“Disebabkan lambakan, ramai peniaga terpaksa menurunkan harga untuk menarik pelanggan. Ada yang jual se­rendah RM5 sekilogram bergantung kepada jenis dan kualiti buah. Tapi ini beri peluang kepada le­bih ramai orang nikmati durian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Banjar di sini.

Sambutan terhadap durian sangat menggalakkan dengan pelanggan bukan sahaja dari sekitar Teluk Intan, malah dari luar daerah termasuk pelancong asing.

Zulkifli menjual pelbagai jenis durian seperti kampung, Musang King, bukit, udang me­rah, kucing tidur dan duri hitam.

Katanya, musim kali ini agak luar biasa kerana durian segar habis dijual dengan cepat, menyebabkannya sukar menghasilkan tempoyak.

“Kalau dulu saya boleh hasilkan 100 botol tempoyak, sekarang nak dapat 10 botol pun susah sebab semua buah habis dijual,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Effendi Ahmad, 57, berkata, walaupun berlaku lambakan, harga durian masih stabil dan mampu milik.

“Sudah lebih 10 tahun saya berniaga durian. Kali ini luar biasa. Pelanggan ramai, permintaan tinggi, tapi bekalan tetap cepat habis. Pelancong pun suka durian kampung dan durian tanah bukit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN