Tarif: AS sedia teliti, pertimbang pandangan Malaysia

Tarif: AS sedia teliti, pertimbang pandangan Malaysia

ANWAR Ibrahim menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menyatakan kesediaan untuk meneliti serta mempertimbangkan pandangan Malaysia berhubung isu tarif perdagangan yang dikenakan negara kuasa besar itu ke atas negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berkesempatan membangkitkan isu tarif itu semasa pertemuannya dengan Rubio, di bangunan Parlimen, di sini semalam.

Menurutnya, tindakan Presi­den AS, Donald Trump memperkenalkan tarif tersebut mem­beri kesan kepada Malaysia sebagai antara negara dagang utama di rantau Asia Tenggara.

“Rubio memaklumkan surat pemakluman mengenai tarif itu adalah bersifat umum dan masih ada tempoh rundingan selama sebulan.

“Beliau memahami kepen­tingan hubungan dagangan antara Malaysia dan AS dan menyatakan kesediaan untuk meneliti serta mempertimbangkan pandangan kita,” katanya selepas pertemuan itu.

Anwar kelmarin membe­ritahu, rundingan tarif antara Malaysia dan AS masih dite­ruskan walaupun Trump telah mengumumkan tarif import 25 peratus ke atas Malaysia.

Jelasnya, Malaysia telah menghantar pasukan untuk berunding dan menjelaskan pendirian bahawa Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan sebarang tarif unilateral akan memberi kesan negatif kepada ekonomi ke­dua-dua negara dan rantau ini.

Trump menyemarakkan semula ketegangan perdaga­ngan global apabila menghantar surat kepada 14 negara keba­nyakannya di Asia, berhubung tarif import lebih tinggi yang akan mula dikuatkuasakan mulai 1 Ogos.

Langkah itu dilihat sebagai usaha terbaharu beliau untuk memaksa rundingan semula perjanjian perdagangan yang didakwa berat sebelah, de­ngan Asia muncul sebagai sasaran utama dalam strategi tarif agresif pentadbiran Trump.

Dalam pada itu, pada sesi pertemuan empat mata de­ngan Rubio, Anwar turut membangkitkan isu keganasan di Gaza.

Anwar menegaskan, Malaysia tidak akan berganjak daripada pendiriannya mendesak kekejaman terhadap rakyat Palestin dihentikan segera.

“Saya tekankan kepada beliau bahawa pembantaian dan kekejaman itu perlu dihentikan. Rubio pula menyatakan maklumat terakhir ialah terdapat usaha keras sedang dijalankan.

“Beliau yakin akan ada gencatan senjata bagi memboleh­kan bantuan kemanusiaan di­salurkan ke Gaza,” jelas beliau.

Tambah Anwar, isu keselamatan dan pendamaian turut disentuh dalam perbincangan itu termasuk pencerobohan dan gangguan, memandangkan ketidaktentuan global juga memberi kesan kepada rantau ini.

“Perbincangan juga menyen­tuh soal ASEAN, di mana Amerika masih menganggap hubungan dengan Malaysia dan rantau ini penting. Mereka mahu meneruskan serta me­ningkatkan kerjasama dengan negara ASEAN,” katanya.

Anwar berkata, beliau turut menegaskan pendirian Malaysia untuk mengekalkan hubungan baik serta berdagang dengan semua negara tanpa memilih mana-mana blok kuasa.

“Amerika memang rakan dagang penting, tetapi pada masa sama kita juga akan terus memperkukuh hubungan dengan China, negara ASEAN lain dan negara luar lain. Ia penting demi kepentingan rakyat dan faedah kepada negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×