KUALA KANGSAR: Galeri Sultan Azlan Shah yang ditutup sejak pertengahan tahun 2023 bakal dibuka semula pada penghujung tahun ini sebagai persediaan menyambut kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, galeri itu sedang dalam proses baik pulih dan bakal menjadi antara tarikan utama pelancong ke Kuala Kangsar.
Menurutnya, kerja konservasi mengambil masa kerana bangunan warisan itu memerlukan bahan binaan khusus yang sukar diperoleh di pasaran biasa.
“Ia bukan seperti bangunan moden. Setiap bahan perlu ditempah atau dicari secara khusus kerana bangunan ini mempunyai nilai sejarah tinggi,” katanya semasa lawatan ke Jambatan Victoria, di sini semalam.
Galeri berkenaan asalnya adalah Istana Ulu yang dibina pada 1903 dan pernah menjadi tempat persemayaman beberapa Sultan Perak.
Kini, ia berfungsi sebagai galeri sejarah perjalanan hidup Almarhum Sultan Azlan Shah, dari zaman kanak-kanak sehingga menjadi Sultan Perak ke-34 dan Yang di-Pertuan Agong ke-9.
Galeri berkenaan ditutup pada Jun 2023 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja konservasi dan naik taraf pameran.
Sze Yee berkata sebanyak RM1.92 juta diperuntukkan bagi pembangunan pelancongan di Kuala Kangsar tahun ini termasuk baik pulih Jambatan Victoria dan penghasilan semula mural di pusat bandar.-UTUSAN.










