RIYADH: Arab Saudi dilaporkan memainkan peranan penting dalam menggagalkan rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan ratusan ribu penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza, menurut laporan laman berita berbahasa Ibrani, Walla, yang memetik sumber-sumber Israel.
Menurut laporan itu, Presiden AS, Donald Trump, pada awalnya berhasrat melaksanakan pelan “migrasi sukarela” untuk Gaza, yang disifatkan beliau sebagai langkah menjadikan wilayah itu “Riviera Timur Tengah” dengan memindahkan penduduknya ke negara lain.
Bagaimanapun, pelan tersebut menerima kecaman hebat daripada dunia Arab dan badan-badan kemanusiaan antarabangsa yang menganggapnya sebagai cubaan terselindung untuk menghalalkan pemindahan paksa rakyat Palestin secara besar-besaran.
Difahamkan, Trump mula berundur daripada pelan itu selepas melakukan lawatan rasmi ke Riyadh pada Mei, di mana beliau menandatangani beberapa perjanjian strategik melibatkan aspek keselamatan dan ekonomi bersama pimpinan tertinggi Arab Saudi.
Sumber Israel memberitahu Walla selepas lawatan tersebut, Washington dilihat mula menukar pendirian terhadap isu Gaza, dan pelan migrasi itu tidak lagi dibangkitkan di peringkat tinggi.
“Pelan itu tidak pernah melepasi tahap ‘godaan politik’ dan akhirnya digugurkan sepenuhnya selepas lawatan Trump ke Riyadh,” kata salah seorang sumber terbabit.
Bagi pihak Israel, keputusan AS untuk menarik diri daripada pelan itu dianggap sebagai satu tamparan terhadap usaha Tel Aviv yang sebelum ini berharap dapat memanfaatkan sokongan Washington bagi melobi beberapa negara menerima pelarian dari Gaza.
Walaupun terdapat sejumlah kecil rakyat Palestin dari Gaza meninggalkan wilayah itu atas kehendak sendiri, jumlah keseluruhan didapati jauh lebih rendah daripada sasaran awal yang diharapkan pihak Israel.
Sehingga kini, tiada sebarang hasil dicapai meskipun pelbagai usaha telah dilakukan bagi merayu beberapa negara menerima penduduk Palestin yang dipindahkan. -AGENSI











