Bank Negara turunkan OPR kepada 2.75 peratus

Bank Negara turunkan OPR kepada 2.75 peratus

BANK NEGARA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) semalam.

Seiring dengan itu, kadar siling dan lantai bagi koridor OPR turut diselaraskan kepada masing-masing 3.0 peratus dan 2.5 peratus.

BNM berkata, walaupun ekonomi domestik berada pada asas yang stabil, ketidaktentuan luaran boleh menjejaskan prospek pertumbuhan.

“Pengurangan OPR ini merupakan langkah pencegahan awal bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal stabil dalam persekitaran inflasi yang sederhana,” katanya dalam kenyataan.

“MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Kali terakhir OPR berubah adalah apabila dinaikan daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus pada Mei 2023.

Pengumuman ini dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif 25 peratus ke atas eksport dari Malaysia berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.

Bank pusat berkata, prospek pertumbuhan global dijangka kekal positif disebabkan pasaran buruh yang kukuh, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal.

“Namun, prospek ini dibayangi ketidaktentuan berkaitan perkembangan tarif serta ketegangan geopolitik yang boleh menyebabkan ketidaktentuan lebih tinggi dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi,” katanya

Untuk rekod, terdapat tiga bank utama di Asia telah menurunkan kadar faedah iaitu Bank Indonesia (BI) pada 21 Mei 2025 kepada 5.50 peratus, People’s Bank of China (PBOC) pada 20 Mei 2025 (3.0 peratus) dan bank pusat Filipina iaitu Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) pada 10 April 2025 (5.50 peratus).

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, selepas menurunkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak satu peratus pada mesyuarat terdahulu, BNM telah menyuntik kira-kira RM16 bilion ke dalam sistem kewangan bagi merangsang kecairan pasaran.

“Terkini walaupun data-data terbaharu menunjukkan kadar inflasi terkawal, pengeluaran industri pembuatan dan eksport juga terus positif.

“Namun, BNM melihat perlunya dasar monetari untuk menyokong ekonomi negara yang dijangka lebih perlahan pada suku ketiga dan keempat tahun ini berikutan ketidaktentuan sektor eksport negara.

“Susulan itu, langkah terbaharu BNM menurunkan OPR dilihat tepat pada masanya untuk menyokong perniagaan dan isi rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, penurunan kadar OPR semestinya akan menurunkan pembayaran pinjaman kepada institusi kewangan yang diberikan pada kadar diapungkan.

“Ini bererti bantuan yang besar kepada perniagaan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan juga peminjam rakyat Malaysia.

“Sebagai contoh, pinjaman perumahan dan bangunan komersial akan berkurang, justeru memberikan ruang yang membantu pengguna dengan lebih kuasa membeli, yang dicabar oleh kenaikan kos sara hidup.

“Ia juga bertepatan dengan beberapa penyusunan semula dasar kerajaan seperti peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pelarasan tarif elektrik dan pelaksanaan subsidi bersasar diesel tahun lalu, serta subsidi petrol RON95 yang dijangka bermula pada separuh kedua 2025,” katanya.

Sementara itu, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengumumkan semakan semula ke atas Kadar Asas Standard (SBR), Kadar Asas (BR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) masing-masing sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75, 3.52 dan 6.47 peratus setahun.

Kadar baharu ini akan berkuat kuasa mulai 10 Julai 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pelarasan itu dibuat susulan keputusan BNM untuk menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas daripada 3.00 kepada 2.75 peratus.

“Langkah strategik ini dijangka menyokong aktiviti ekonomi serta memberi kelegaan kewangan kepada individu dan perniagaan yang mempunyai pembiayaan yang dihubungkan kepada SBR, BR atau BFR.

“Bank Islam kekal komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi sambil terus responsif terhadap keperluan pelanggan yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×